Mi Mix 4 Mungkin Mempunyai Ciri Paparan 90Hz Dan Pengecasan 40W

Seminggu yang sudah, terdapat laporan yang menyenaraikan beberapa informasi awal mengenai Mi Mix 4 melibatkan konfigurasi memori serta sistem kamera yang bakal dipertaruhkan.

Kini, menambah  lagi khabar angin sedia ada, satu perkongsian dari Weibo pula menyatakan berkenaan paparan dan pengecasan yang mungkin dibawa pada model flagship tersebut. Hantaran pada platform Weibo itu menyebut, Mi Mix 4 bakal disertakan dengan kadar segar semula paparan 90Hz diiringi bersama daya pengecasan 40W.

Selain itu, ia turut dinyatakan akan menggunakan mekanisme terangkat bagi kamera rakaman hadapan dan ini memberi gambaran skrin paparan luas tanpa sebarang gangguan.

Walaubagaimanapun, apa yang diperkatakan ini adalah ramalan dan masih belum dapat dipastikan kebenarannya. Namun berdasarkan perkembangan telefon pintar masa kini, tidak mustahil ia akan didatangkan pada Mi Mix 4 yang mana pelancarannya dijangka berlangsung pada 24 September hadapan.

Selain Mi Mix 4, beberapa lagi model turut dikhabarkan akan menyertakan kadar segar semula 90Hz seperti Pixel 4 dan peranti dari Realme.

Sumber: Weibo