Mi Band 5 Untuk Pasaran Luar China Akan Dilengkapi Ciri NFC

Pada Ogos yang lalu, terdapat laporan mengenai penjejak kesihatan Mi Band 5 sudah pun berada dalam fasa pembangunan. dan perkhabaran awal menyatakan ia akan dilancarkan  pada suku kedua tahun hadapan.

Kini menambah satu lagi desas-desus untuk model tersebut, Mi Band 5 untuk pasaran luar China dikatakan bakal menyokong ciri NFC. Menggarap laporan dari TizenHelp, syarikat pengeluar itu mahukan menjadikan penjejak kesihatan mereka lebih berdaya saing pada pasaran global.

Melalui NFC, Mi Band 5 boleh dijadikan medium pembayaran tanpa tunai yang bakal memudahkan pengguna ketika proses transaksi pembelian dan sebagainya.

Untuk makluman, Mi Band 4 yang sedia dilancarkan beberapa bulan lalu mempunyai dua versi untuk pasaran China dan global. Sokongan NFC dan mikrofon diberikan pada versi di China sementara versi global tidak mempunyai kedua-dua sokongan terbabit.

Ini hanyalah informasi awal mengenai Mi Band 5 dan kita perlu menantikan pengumuman rasmi dari Xiaomi sendiri.

Sumber: TizenHelp