Mi Band 4 Dikatakan Sudah Dapat Pengesahan Di Taiwan, Ini Mungkin Rupa Bentuk Pengganti Mi Band 3

Gelang tangan pintar, Mi Band 3, kini menghampiri usia setahun selepas ia dilancarkan pada penghujung Mei tahun lalu. Merupakan salah satu pilihan popular, versi seterusnya pasti dinanti-nanti pengguna.

Baru-baru ini, model pengganti, 'Mi Band 4' dilaporkan sudah melepasi pengesahan badan pensijilan NCC Taiwan. Berdasarkan imej, rekaan bujur itu masih dikekalkan tetapi terdapat sedikit perubahan diberikan padanya.



Antara ketara yang kelihatan adalah bahagian pengecas bukan berada disisi lagi tetapi pada bahagian belakang. Ini menjadikan pengecasnya turut berubah.

Tidak dapat dipastikan saiz paparannya akan bersamaan dengan Mi Band 3 ataupun tidak. Bahagian belakang pula kelihatan sensor yang disebut-sebut sebagai sensor kadar degup jantung.

Mi Band 4 juga dikatakan akan mempunyai sokongan Bluetooth 5 dan NFC. Ini membayangkan ciri kemudahan pembayaran tanpa tunai akan ditawarkan. Namun begitu, ia hanya mungkin dijual untuk pasaran China sahaja.

Selain itu, khabar angin turut menyatakan Mi Band 4 diperlengkapkan dengan sensor ECG. Gelang tangan pintar dari Xiaomi memang sudah popular dengan tanda harganya yang murah dan kita mungkin boleh menjangkakan nilai lebih kurang sama diberikan pada Mi Band 4. Adakah ia akan tampil dengan reka bentuk begini atau lebih kemas lagi, kita tunggu pengumuman rasmi dari Xiaomi.

Sumber: Droidshout