(Ulasan) Mi A2 - Telefon Android One Dengan Kamera Yang Semakin Baik

Kalau dekat China model ni dikenali sebagai Mi 6X yang menjalankan antaramuka MIUI. Bagi pasaran lain, Xiaomi melahirkannya semula sebagai Mi A2, dioperasikan dengan sistem operasi Android One.



Kalau anda semua nak tahu, Xiaomi mula menawarkan sistem operasi Android asli kepada peminat sejak tahun lepas, dimulai dengan Mi A1. Mi A1 mendapat sambutan hangat dari pasaran-pasaran besar dan telah merangkul anugerah  peranti kelas pertengahan terbaik di India dan Indonesia. Borak panjang ni kita bukan nak cerita pasal Mi A1, tapi model penggantinya iaitu Mi A2.

Sebelum tu kita ulangkaji sedikit perubahan yang dibawakan oleh Mi A2 menerusi foto dibawah.



Ok dah nampak sikit? Adakah Mi A2 boleh mewarisi kecemerlangan dalam menjadi peranti terbaik bagi kelas pertengahan tahun ini? Mari kita lihat ulasan berikut

Rekaan luaran

Dari segi rekaan, kelihatan lebih panjang sedikit. Bahagian hadapan dipasang dengan skrin IPS LCD bersaiz 5.99 inci beresolusi Full HD+ dengan nisbah paparan 18:9. Ia dilindungi dengan kaca dari Corning Gorilla Glass 5.



Kelihatan tinggi dan ramping, panel belakang diperbuat daripada logam dan agak licin dipegang. Sebaiknya anda menggunakan sarung silikon yang telah dibekalkan untuk elak dari mudah terjatuh serta calar.



Butang laras kelantangan bunyi di sebelah kanan, dituruti butang kuasa dibawahnya. Sebelah kiri pula slot kad dwi sim, hanya satu slot sahaja yang menyokong sambungan 4G. Mi A2 tidak punyai slot untuk kad MikroSD, tetapi itu bukan faktor penolak bagi model ini.

Dibawah diletakkan port pengecasan dan pindahan data melalui port USB -C yang diapit oleh pembesar suara, tetapi pembesar suara sebelah kanan sahaja yang mempunyai loudspeaker.



Sayangnya tiada bicu audio 3.5mm tapi tak perlu risau, Xiaomi menyertakan kabel penyesuai UBS-C ke bicu audio 3.5mm didalam kotak.



Kamera swafoto, pembesar suara, sensor inframerah, LED notifikasi dan fungsi flash pada bingkai atas. Bingkai bawah pula nipis dibiarkan kosong.

Diatas pula ada fungsi IR Blaster berfungsi sebagai alat kawalan jauh untuk peranti lain.

Kita kebelakang pula. Sensor pengecasan cap jari berbentuk bulat berada ditengah, dilokasi yang mudah dicapai. Dwi kamera dipenjuru kiri atas berselang seli dengan fungsi flash. Permukaan belakang pula tidak rata disebabkan rekaan kamera yang sedikit timbul. Potong stim betul.



Antaramuka

Mewarisi kesinambungan yang ada pada Mi A1, Xiaomi Mi A2 menjalankan antaramuka Android One diiringi dengan aplikasi dari MIUI seperti Feedback, File Manager, Mi Remote dan Mi Drop. Hanya Feedback sahaja yang tidak boleh dinyahpasang, yang lain-lain anda boleh buang kalau tak mahu guna.

Aplikasi kamera juga adalah gubahan dari MIUI dan bukannya asal dari Android.

Untuk lihat semua aplikasi, anda hanya perlu tatal keatas dan tatal kebawah untuk ke tetingkap utama.



Suapan kearah kanan akan membawa anda kepada ciri Google Feed. Butang navigasi maya akan bersembunyi bila kita memasuki mod paparan penuh. Untuk keluarkannya semula, leret sedikit skrin dibahagian bawah.

Tiada ciri sentuhan pintar untuk akses pantas kecuali tekan butang kuasa dua kali untuk aktifkan kamera.

Tekan lama butang maya Home, ciri Google Assistant akan diaktifkan. Nampak macam tiada apa yang menarik kecuali ia kemas dan ringan. Peranti Android One juga dijanjjikan dengan kemaskini sekuriti yang lebih pantas.

Bagi nyahkunci skrin, beberapa pilihan boleh dibuat, sama ada dengan kata laluan, corak, atau imbasan cap jari. Tidak cukup dengan itu, ia mempunyai ciri Smart Lock; On Body Detection, Trusted Places, Trusted Devices, Trusted Face dan Voice Match.



Imbasan wajah berfungsi dengan baik diwaktu cahaya yang terang tetapi sebaliknya untuk kawasan kurang pencahayaan.

Spesifikasi Dalaman

Mi A2 dinaik taraf dari segi cip pemprosesan, lensa kamera, RAM dan beberapa yang lain.

Cip pemprosesan Snapdragon 660 digunakan untuk memacu Mi A2 diiringi dengan pilihan RAM 4GB/64GB atau RAM 6GB/128GB.

Memori RAM adalah dari model LPDDR4X, lebih jimat penggunaan kuasa bagi penghantaran data kerana menyokong dua saluran memori input/output.



Macam biasa, kami memainkan PUBG pada peranti ini untuk melihat berapa jauh prestasi yang boleh diberikan.

Permainan berjalan lancar dengan sedikit sahaja gangguan grafik melalui tetapan asal aplikasi.

Permainan lain seperti Asphalt 9 dan War Robot juga beraksi cemerlang tetapi apabila semakin lama bermain, panel belakang mulai panas sedikit.

Kadang-kadang ada juga aplikasi tiba-tiba tertutup ataupun tidak responsif. Tetapi itu tiada masalah, mungkin juga berpunca dari terlampau banyak aplikasi berjalan pada latarbelakang.

Kamera

Salah satu ciri yang dipertingkatkan adalah dwi kamera belakang sokongan AI yang membantu rakaman pada kawasan kurang pencahayaan.

Gabungan dwi kamera 12MP untuk sensor utama dan 20MP bagi rakaman kurang pencahayaan. Kedua-duanya hadir dengan nilai aperture f/1.75.

Pada mod manual, anda boleh bertukar dari sensor utama ke sensor low-light.



Untuk rakaman video, ia menyertakan penstabilan imej elektronik atau EIS pada resolusi 1080p untuk 30 fps. Anda juga boleh merakam video 4K@30fps dan nilai terendah pada 720p@120fps.

Rakaman swafoto adalah dari lensa 20MP f/2.2. Ciri bokeh untuk kamera depan dan belakang boleh dikira baik.





Jom lihat hasil rakaman low light pula.













ini pula hasil dari hari cerah.











Keupayaan bateri

Mi A2 didatangkan dengan bateri berkapasiti 3000mAh. Menyokong pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 4+ tetapi didatangkan hanya dengan pengecas 10W.

Kami kosongkan bateri dan berikut adalah hasil pengecasan:

  • 10 minit = 11%

  • 30 minit = 30%

  • 60 minit = 58%

  • 0% hingga 100% = 1 jam 54 minit.


Untuk memenuhkan 3000 mAh mengambil masa hampir dua jam, untuk hasil yang lebih baik anda boleh gunakan pengecasan pantas yang lain.

Penggunaan aplikasi media sosial, (Facebook, WhatsApp dan Instagram), melayari internet, serta bermain permainan berat seperti PUBG mampu memberi kuasa sehingga 3-4 jam sahaja. Kalau penggunaan sederhana boleh mencapai sehingga 7 ke 8 jam. Bab bateri ni sedikit lemah la.

Keseluruhan



Banyak perubahan boleh dilihat pada Mi A2 terutama sekali dibahagian kamera yang semakin baik memberikan rakaman berkualiti.

Lebih-lebih lagi pada waktu low-light. Ia boleh diletakkan sebagai salah satu kamera telefon terrbaik dalam jarak harga RM1200 dan kebawah.

Antaramukanya kemas dan ringan. Mungkin akan mengecewakan anda kerana tidak mempunyai bicu audio 3.5mm ditambah lagi dengan ketiadaan slot MikroSD dan bateri cuma 3000mAh.

Ya, ada lagi peranti setaraf yang boleh menandingi Mi A2 diluar sana seperti  Redmin Note 5 tetapi kelebihan Mi A2 adalah dari segi sistem operasi. Ia dijangkakan dinaik taraf kepada Android Pie pada penghujung tahun.

Tampil dipasaran pada harga RM 1199 untuk 6GB/ 128GB dan 4GB/64GB untuk RM999. Terdapat tiga pilihan warna iaitu Hitam, Merah, dan Emas.

Nak rasai pengalaman menggunakan Android One pada harga mampu milik? Mi A2 mungkin boleh dipertimbangkan.