Mi 11 Rasmi Untuk Global, Datang Sekali Dengan Pengecas GaN 55W

Xiaomi Mi 11 telah pun dilancarkan untuk pasaran China pada akhir Disember tahun lalu. Kini, penantian telah pun berakhir apabila Xiaomi secara rasmi mengumumkan pelancaran Mi 11 untuk pasaran global.

Mi 11




Bermula dengan spesifikasi, Mi 11 menampilkan skrin paparan AMOLED dengan ukuran 6.81-inci bersama resolusi WQHD+ serta ketumpatan 551ppi. Menguatkan lagi ciri paparan adalah sokongan kadar segar semula 120Hz dan input sentuhan 480Hz. Ia juga mempunyai perlindungan Corning Gorilla Glass Victus.

Bukan lagi rahsia, peranti ini hadir dengan janaan cip pemproses Snapdragon 888 yang berasaskan binaan 5nm yang turut menyokong rangkain 5G. Sementara itu, RAM 8GB berasaskan LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB berasaskan UFS 3.1 digandingkan bagi melengkapi bahagian memori peranti.



Beralih pula kita ke bahagian kamera, Mi 11 dimuatkan tetapan tiga kamera yang terdiri daripada 108MP (f/1.85) utama dengan sokongan OIS dan 7P-elemen, 13MP (f/2.4) sudut lebar, dan 5MP telefoto makro.



Dari segi rakaman video, ia didatangkan bersama mod Ultra Night Video dengan perincian yang dipertingkatkan.



Peranti ini memperoleh skor A+ dalam gred prestasi skrin oleh DisplayMate. Tahap maksimum kecerahan pula boleh mencapai sehingga 1500 nit. Paparannya pula turut menyokong DCI-P3, HDR10+ dan MEMC.



Ia juga mempunyai sokongan audio dari Harman Kardon dengan pembesar suara stereo. Kapasiti bateri yang dimuatkan pada Mi 11 adalah 4600mAh. Peranti ini juga menyokong pengecasan berwayar 55W, pengecasan tanpa wayar 50W dan pengecasan berbalik 10W.

Antara lainnya adalah sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2 serta pemantauan kadar degupan jantung. Mi 11 hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Horizon Blue, Midnight Gray dan Cloud White.



Jika pasaran China ditawarkan dengan dua versi jualan, pasaran global pula masih menerima pengecas 55W GaN dalam kotak pembelian Mi 11.

Harga


Harga jualan Mi 11 adalah seperti berikut:

  • RAM 8GB/128GB - 749 euro (~RM3662)

  • RAM 8GB/256GB - 799 euro (~RM3906)


Untuk pasaran Malaysia, belum lagi diketahui harga yang bakal ditawarkan. Namun, Xiaomi dijangka mengumumkan harga peranti ini tidak lama lagi.