Messenger Kids Ditawarkan Di Malaysia, Aplikasi Permesejan Khusus Untuk Kanak-Kanak

Facebook kini telah melancarkan aplikasi Messenger Kids di lebih 70 buah negara baru. Antara negara yang menerima aplikasi perkhidmatan pesanan yang menumpukan kepada kanak-kanak itu termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Sebelum ini, Messenger Kids telah dilancarkan dalam pasaran Amerika Syarikat pada 2017 dan diikuti oleh Kanada dan Peru pada 2018. Menurut Facebook, pelancaran di lebih 70 buah negara dilakukan kerana kebanyakan kanak-kanak secara global hari ini melakukan pembelajaran dari rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.



Selain itu, Facebook turut mengumumkan beberapa sokongan fungsi baru yang terdapat pada aplikasi Messenger Kids. Melalui fungsi Supervised Friending, ibu bapa atau penjaga kini boleh membenarkan anak-anak mereka mengawal permintaan rakan mereka sendiri.

Bagaimanapun, ibu bapa masih akan menerima pemberitahuan penerimaan rakan dan dapat mengawal permintaan tersebut pada bahagian Parent Dashboard di aplikasi Messenger Kids.



Fungsi baru yang kedua membolehkan ibu bapa untuk menerima guru, jurulatih atau ibu bapa lain untuk menguruskan grup di Messenger Kids. Ibu bapa turut mempunyai pilihan untuk menetapkan privasi nama dan foto profil anak mereka.

Pada masa ini, fungsi baru yang telah tersedia hanya dilepaskan di Amerika Syarikat dan akan diikuti oleh negara lain tidak lama lagi. Bagi aplikasi tersebut, ia telah mula dilepaskan di lebih 70 buah negara bermula hari ini.

Sumber: The Verge

Berkaitan