Mengapa Font Comic Sans Sangat Dibenci Oleh Masyarakat?

Comic Sans merupakan font kontroversi yang popular bukan sahaja dalam golongan pereka grafik bahkan pengguna biasa juga.

Kapsyen: Suka font ini?


Sejak diperkenalkan pada tahun 90-an, perjalanan Comic Sans digunakan di mana-mana sahaja termasuk dari rekaan laman web, kad hari jadi, papan tanda amaran sehinggalah kepada surat formal.

Pun begitu, kenapa ia dijadikan bahan jenaka oleh masyarakat malah ada yang sangat-sangat membenci tulisan ini.

Sejarah Ringkas Comic Sans


Kisahnya bermula pada tahun 1994 di pejabat Microsoft. Ketika ini mereka sedang mempersiapkan Microsoft Bob iaitu program antaramuka mesra pengguna untuk sistem operasi Windows 95.

Dalam antaramuka tersebut, ia menggunakan anjing kuning dinamakan Rover yang membimbing pengguna dengan tips berguna melalui buih sembang.

Kapsyen: Program Microsoft Bob


Pereka font untuk program itu, Vincent Connare pada mulanya tidak setuju buih sembang Rover menggunakan tulisan dari Times New Roman. Beliau mengatakan Times New Roman nampak serius dan kurang mesra kepada pengguna yang menggunakannya.

Kapsyen: Pencipta Comic Sans, Vincent Connare


Sehubungan dengan itu, Vincent Connare mahu mencipta font baharu yang lebih bersifat lebih mesra dan ceria. Mengambil inspirasi dari buku komik, beliau menghabiskan selama 3 hari mencipta apa yang dikenali hari ini sebagai Comic Sans.

Kapsyen: Rupa bentuk Comic Sans


Pun begitu, disebabkan masalah teknikal, Comic Sans tidak digunakan dalam Microsoft Bob. Namun, font ini boleh digunakan secara awam apabila ia dimasukkan dalam Windows 95.

Font ini semakin popular dan muncul dimana-mana selepas itu daripada papan tanda, emel, sehingga kad bisnes professional.

Kapsyen: Comic Sans begitu popular digunakan

Mengapa Comic Sans Dibenci?


Disebabkan rupa yang sangat mesra dan ceria di mata pengguna, Comic Sans digunakan secara meluas oleh ramai orang.

Ini menjadikan penggunaan font ini digunakan secara berlebih-lebihan dan tidak kena pada tempatnya.

Umum mengetahui penggunaan font yang berbeza membawa makna dan konteks yang berbeza.

Rupa ceria Comic Sans ini banyak digunakan pada perkara serius dan professional seperti kad perkahwinan malahan juga alat defibrillator.

Kapsyen: Penggunaan Comic Sans pada notis amaran dan kad perkahwinan


Kapsyen: Comic Sans digunakan di alat defibrillator di Monaco


Pereka-pereka grafik sedunia sangatlah menyampah dengan penggunaan yang tidak tentu arah ini.

Malah Vincent Connare dalam satu temuramah tidak bersetuju dengan penggunaan Comic Sans yang tidak kena pada konteksnya.

Antara insiden terbesar baru-baru ini melibatkan font ini adalah apabila bekas peguam Trump, John Dowd menulis surat undang-undang rasmi dalam Comic Sans yang membangkitkan kemarahan di seluruh dunia, bukan sahaja dalam kalangan pereka grafik.

Kapsyen: Surat yang ditulis oleh John Dowd menggunakan Comic Sans


Namun sebelum-sebelum itu juga, Comic Sans tidak perlu menunggu lama untuk dibenci oleh ramai orang sejak pengenalannya.

Disebabkan penggunaan popularnya, pada tahun 1999 gerakan untuk menyekat dan mengharamkan penggunaan Comic Sans ini telah dilaksanakan melalui "ban comic sans".

Kapsyen: Logo gerakan mengharamkan Comic Sans

Sumbangan Comic Sans Yang Positif


Walaupun boleh dikatakan semua perkara mengenai Comic Sans adalah tidak elok dan penggunaannya telah dicemari dari tujuan asalnya, font ini terdapataspek positif iaitu ia merupakan antara font sesuai untuk pembaca mengalami disleksia.

Untuk pembaca disleksia, mereka mempunyai masalah pembelajaran disebabkan sukar untuk membezakan urutan huruf atau rupa huruf.

Comic Sans memenuhi kriteria sebagai font yang bagus untuk pengguna disleksia kerana ia mempunyai jarak huruf yang baik serta perbezaan antara huruf dan nombor yang bagus (huruf besar I, huruf kecil i, dan nombor 1).

Kapsyen: Comic Sans yang sangat digalakkan untuk pembaca disleksia


Apa yang kelakarnya mengenai kisah Comic Sans ini adalah, penciptanya Vincent Conncare tidak pula terlalu serius dan ambil kisah. Walaupun dunia berperang dengan isu ini, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa,"Orang yang tidak suka Comic Sans sebenarnya tidak tahu apa-apa mengenai rekaan dan reka bentuk."

Rujukan:

  • Wix: Kenapa Orang Benci Comic Sans (Dan Tak Patut Benci)

  • Designforhackers: Kenapa Anda Benci Comic Sans

Berkaitan