Mencari Tandas Awam Tidak Lagi Sukar Dengan Adanya Aplikasi MyWc

Aplikasi ini dibangunkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam telah melancarkan aplikasi mudah alih MyWC (My Water Closet) yang bertujuan bagi membantu orang ramai mencari tandas awam berpandukan fungsi sistem penentu kedudukan global (GPS) dan berdasarkan jarak dari lokasi penggunanya.

MyWC yang dibangunkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut membantu pengguna mendapatkan maklumat tandas berdasarkan penarafan bintang, tandas berbayar dan tidak berbayar, keperluan orang kurang upaya (OKU) dan bilik tukar lampin bayi yang disediakan di medan selera serta pihak berkuasa tempatan (PBT).



Buat masa ini, sebanyak 2,625 tandas seluruh negara dimuat naik ke aplikasi itu yang diperoleh daripada pangkalan data asas Daftar Tandas Awam Seluruh Malaysia (DATAM).

Ia merangkumi pusat beli-belah, perhentian awam, sekolah, restoran, stesen minyak dan kawasan pelancongan.

Aplikasi MyWC ini sudah pun mula ditawarkan di Google Play Store.