MediaTek Umum Cip Helio A22 Bagi Segmen Bajet

MediaTek boleh dikatakan banyak menawarkan cip pemprosesan dalam segmen bajet dan pertengahan.

Semalam, sebuah lagi cip dalam keluarga bajet dikeluarkan yang mana ia dibangunkan bagi memberi saingan kepada Snapdragon siri 400 dari Qualcomm.

Dikenali sebagai Helio A22, ia direka berasaskan ARM teras Cortex-A53 dan menggabungkan GPU PowerVR GE dari Imagination.

Selain itu, syarikat juga menjelaskan bahawa cip pemprosesan terbabit 30% lebih pantas dan menawarkan 72% peningkatan terhadap prestasi GPU berbanding cip pesaing yang tidak dinamakan.

Perbandingan yang dibuat antara Helio A22 dengan Snapdragon 429 mendapati kelajuan maksimum cip MediaTek itu mencecah 2GHz, 0.05GHz lebih pantas.

Disamping itu, ia juga memberi penambahbaikan pada kamera dimana ia menyokong satu sensor sehingga 21MP atau dwi lensa 13MP+8MP.

MediaTek Helio A22, sudah mula dibekalkan kepada pengeluar telefon pintar dan antara peranti terawal yang sudah dilengkapkan cip terbabit adalah Xiaomi Redmi 6A.

Sumber: MediaTek