MediaTek Pertahankan Isu 'Penipuan' Skor Ukur Aras Prestasi, Jelaskan Syarikat Lain Turut Melakukannya

Ada sebab mengapa sesetengah pengeluar sanggup 'menipu' untuk mendapatkan skor yang tinggi dalam ujian ukur aras prestasi. Tidak lain tidak bukan adalah untuk dijadikan tajuk berita dan juga meraih perhatian media dan pengguna.

MediaTek adalah merupakan pengeluar berkenaan yang sering kali terlibat dalam kontroversi skor prestasi peranti ini. Antara peranti yang terkini terpalit dengan masalah ini adalah realme C3.

Namun terdapat laporan bahawa Sony Xperia XA1 turut terlibat sama. Peranti tersebut telah dilancarkan pada tahun 2017 bermakna MediaTek sudah lama melakukan perkara ini secara senyap-senyap.

Baru-baru ini MediaTek membuat satu kenyataan dalam blog yang secara rumusannya mempertahankan tindakan mereka melakukan perkara tersebut. Menurut MediaTek, apa yang dipanggil sebagai 'pengoptimasian ukur aras' oleh mereka ini adalah normal dalam industri.

Malah, mereka juga turut menyatakan syarikat cip lain juga turut melakukan perkara yang sama. Hal ini secara tidak langsung telah 'memaksa' Qualcomm, iaitu pengeluar cip lain untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.

Kapsyen: Qualcomm


Pada Qualcomm pula, mereka menjelaskan dari segi teknikal ia adalah salah dan tidak bertanggung jawab terhadap pengguna. Walaupun MediaTek tidak menyatakan secara khusus pengeluar cip manakah yang dikatakannya, Qualcomm merupakan pengeluar yang lebih dekat dari segi aspek pesaing.

Ini adalah kerana pengeluar lain seperti Huawei dan Samsung kebiasaannya menghasilkan cip untuk jenama mereka sendiri. Manakala MediaTek dan Qualcomm kedua-duanya memasarkan cip mereka kepada kebanyakan peranti yang terdapat dalam pasaran.

Walau apapun alasan MediaTek, ini secara tidak langsung memburukkan imej mereka sebagai salah sebuah pengeluar cip utama dalam pasaran peranti pintar.

Agak mengecewakan juga kerana siri G Helio dan Dimensity mereka merupakan cip yang mempunyai spesifikasi berkuasa dan sememangnya tidak perlukan langsung sebarang penipuan ujian ukur aras prestasi.

Sumber: MediaTek

 

 

Berkaitan