MediaTek Perkenalkan Helio P65, Cip 8 Teras Dengan Sokongan Kamera Sehingga 48MP

Sebuah lagi pembangun cip pemprosesan peranti mudah alih, MediaTek, telah tampil mengumumkan Helio P65 yang ditambah baik daripada generasi sebelumnya.

Helio P65 merupakan rekaan 12nm dengan 8 teras yang terdiri daripada 2x teras Cortex-A75 dan 6 teras Cortex-A55. Penggunaan Cortex-A75 dilihat memberikan sedikit peningkatan berbanding Helio P60 dan P70 yang sebelum ini menggunakan Cortex-A73.

Bagi pemprosesan grafik pula, MediaTek menyediakan cip ini dengan Mali-G52, sama seperti yang terdapat pada cip terbaru Kirin 810.

Menurut MediaTek lagi, prestasi AI dipertingkatkan sehingga 2x atau 30% lebih pantas berbanding pesaing rapat dalam ciri AI kamera seperti pengesanan objek dan pemandangan sertaa rakaman bokeh untuk satu lensa atau dwi lensa.

Melalui cip ini juga pengeluar boleh membuat tetapan sistem dwi kamera 16MP+16MP atau rakaman gambar sehingga 48MP. Rakaman video pula hanya menyokong sehingga 1080p/60fps. Tidak seperti P60 dan P70, keluaran baru MediaTek ini tidak boleh disambung kepada storan UFS dan hanya hadir dengan sokonga eMMC 5.1.

Dengan spesifikasi yang diberikan, Helio P65 pastinya akan muncul pada peranti kelas pertengahan dan difahamkan ia sedang daalam proses pengeluaran.

Sumber: MediaTek