MCMC Simpati Kepada Pelajar Yang Terpaksa Mendaki Bukit Bagi Mendapat Capaian Internet Di Pakan, Sarawak





Baru--baru ini media melaporkan tentang kesusahan yang dihadapi oleh seorang pelajar dari Pakan, Sarawak yang terpaksa mendaki bukit semata-mata bagi mengikuti sesi temu ramah kemasukan ke sebuah universiti tempatan akibat daripada masalah capaian Internet di rumah panjang beliau.

Isu itu dilaporkan berlaku kepada seorang pelajar di rumah panjang Suing, Teberu, Ulu Kemalih, Pakan, Sarawak.

Respon terhadap laporan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa mereka telah mengambil maklum dan bersimpati terhadap pelajar tersebut.

MCMC memaklumkan perkhidmatan Internet Wifi sedia ada di rumah panjang itu adalah di bawah projek Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN Wifi) yang merupakan inisiatif daripada pihak kerajaan negeri tersebut melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Sehubungan itu, MCMC menyatakan bahawa pihak mereka akan bekerjasama dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA) untuk mengenal pasti kaedah capaian yang lebih sesuai bagi memastikan tahap kualiti pengalaman ke atas perkhidmatan Internet Wifi SALURAN sedia ada di rumah panjang Suing.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang, sebuah menara baharu telah dirancang untuk dibina pada tahun ini oleh pihak Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk memberikan liputan 4G di kawasan tersebut.

Sumber: MCMC

 



Berkaitan