MCMC Komited Lindungi Pengguna, Lebih 2000 Akaun Palsu Telah Dipadam Sejak 2018

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia(MCMC) nampaknya mengambil serius tentang gejala akaun palsu atau penyamaran atas talian yang semakin menular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Ini dibuktikan apabila mereka telah mengambil tindakan terhadap 2,823 akaun palsu di antara tahun 2018 sehingga pertengahan Mac yang lalu.

Malah 80% daripada akaun-akaun tersebut telah pun dipadam selaras dengan terma-terma dan syarat yang digunapakai pada platform media sosial yang terlibat.



Menurut Ketua Pegawai Sektor Pematuhan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin memaklumkan bahawa tindakan tersebut terpaksa diambil selaras dengan aduan daripada orang ramai.

Bagi mengelakkan gejala ini daripada terus berleluasa, beliau menyarankan pengguna untuk melaporkan akaun-akaun terbabit sama ada secara terus kepada pihak MCMC ataupun kepada penyedia platform media sosial.

Untuk makluman, MCMC telah pun mengadakan program seperti Klik Dengan Bijak(KDB) sejak tahun 2012 bagi mendidik pengguna mengenai kepentingan penggunaan Internet secara berhemah.

Sehingga hari ini, program berkenaan dilaporkan sudah disertai oleh lebih dari 5 juta peserta.

 

Sumber: FB MCMC