MCMC: Hati-Hati Dengan Taktik Penipuan Ambil Alih Akaun WhatsApp

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan taktik penipuan yang bertujuan untuk mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

Taktik ini menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.

Secara amnya, kod pengesahan tersebut diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

Dengan menyerahkan kod pengesahan tersebut, ia boleh menyebabkan akaun WhatsApp pengguna diambil alih oleh scammer.

Dalam pada itu, MCMC turut mengesan beberapa helah dan modus operandi yang digunakan oleh scammer. Antaranya termasuk,

1. Menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga dengan menggunakan akaun WhatsApp (milik rakan atau ahli keluarga) yang telah berjaya diambil alih sebelum ini; dan seterusnya merayu bantuan pengguna untuk menyerahkan kod pengesahan 6-digit yang diterima.

2. Menyamar sebagai kakitangan WhatsApp dan meminta pengguna menyerahkan kod pengesahan 6-digit.

3. Sengaja membuat beberapa cubaan pengesahan yang gagal. Dengan itu, sistem WhatsApp akan membuat panggilan automtik ke nombor pengguna untuk memaklumkan kod pengesahan.

Bagi pengguna yang telah menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp, adalah disarankan mengikuti langkah-langkah di pautan ini untuk mendapatkan semula akaun WhatsApp.

Para pengguna yang lain pula diingatkan supaya tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan 6-digit WhatsApp, kata laluan, PIN atau yang berkaitan kepada mana-mana pihak.

Sumber: MCMC