MCMC: Guna Peruntukan 1GB Data Percuma Sebaiknya Untuk PdPR

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengumumkan tawaran 1GB data percuma setiap hari atau 30GB sebulan dilanjutkan sehingga 30 April 2021.

Kini, Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyarankan pengguna perkhidmatan telekomunikasi, terutamanya golongan pelajar, guru dan ibu bapa untuk menggunakan peruntukan tersebut sebaik-baiknya bagi tujuan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Terdahulu, peruntukan data percuma telah diberikan sejak April 2020 sebagai tambahan daripada pakej langganan data sedia ada. Pengguna boleh menggunakan peruntukan ini untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari.

Bagaimanapun, ia tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video,
permainan dalam talian serta penstriman muzik.

Sumber: MCMC