Mari Kenali Satelit – Teleskop Angkasa Hubble

Salah satu satelit astronomi yang paling popular dikalangan ahli sains dan juga dikenali umum adalah Teleskop Angkasa Hubble milik Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Hubble merupakan sebuah satelit teleskop optikal angkasa yang bersaiz 13.2 meter panjang dan 4.2 meter lebar serta seberat 10,886kg ketika dilancarkan.

Sumber utama tenaganya adalah dari cahaya matahari yang diambil menerusi 2 panel solar bersaiz 25 kaki dengan mampu menjana tenaga sehingga 5,500 watts.

Kapsyen: Diagram kawalan, sistem sokongan dan instrumen Hubble. Kredit: Hubble site


Hubble mampu merakam gambar sehingga 10 kali ganda lebih jelas berbanding teleskop yang terdapat di balai cerap bumi.

Ahli astronomi menggunakan Hubble untuk melihat bintang dan galaksi serta planet-planet yang jauh dari lingkaran sistem solar.

Sehingga kini, Hubble telah melaksanakan lebih daripada 1.4 juta pemerhatian. Imej yang telah dicerap oleh Hubble membantu para saintis menganggarkan usia alam semesta yang dianggarkan hampir 14 bilion tahun.

Kapsyen: Imej planet Jupiter yang berjaya di rakam Hubble Ogos lalu. Kredit: Hubblesite


Antara misi utama Hubble adalah membongkar sejarah dan misteri evolusi alam semesta, sebagai fasiliti jangka panjang untuk astronomi optikal dan mengkaji proses semula jadi alam semesta.

Teleskop angkasa Hubble telah dilancarkan oleh NASA dengan kerjasama Agensi Angkasa Eropah (ESA) pada 24 April 1990 ke orbit rendah bumi (LEO - Low Earth Orbit) pada ketinggian 547 km dari permukaan bumi dengan menggunakan Space Shuttle Discovery (STS-31).

Kapsyen: Teleskop angkasa ini diberi nama sempena seorang astronomer terkenal iaitu Edwin Hubble. Foto menunjukkan Hubble ketika saat ia dilepaskan dari kapal angkasa Discovery pada 25 April 1990. Kredit: Hubblesite


Pada 24 Aprill 2020 yang lalu, genaplah 30 tahun Hubble beroperasi di ruang angkasa dan teleskop angkasa ini dijangka mampu beroperasi sehingga tahun 2040.

Bagi meneruskan kesinambungan Hubble, NASA akan melancarkan James Webb Space Telescope pada tahun 2021 nanti.

Sumber: Hubble Site, MYSA

P/s: Teleskop Angkasa Hubble bukan mengembara ke planet atau bintang galaksi lain bagi merakam gambar. Sebaliknya ia merakam gambar angkasa lepas ketika mengorbit bumi pada kelajuan 17,000mph (27,358.85kmph).