Mara Digital Akan Dibuka Di Johor Dan Melaka Mulai Tahun Hadapan

 

Mara Digital merupakan pusat jualan gajet dan peralatan teknologi yang bertujuan membantu menyediakan tapak jualan bagi usahawan ICT bumiputera.

Hampir dua tahun ditubuhkan, Mara Digital kini melebarkan sayapnya ke pantai timur pula dimana, pelancarannya sudah berlangsung di Plaza Gambut Kuantan tempoh hari. Ia merupakan pusat jualan keempat selain dari Mara Digital di Menara Mara Kuala Lumpur, Anggerik Mall Shah Alam dan Bazar Medan Jaya Ipoh.

Difahamkan dua lagi lokasi baru Mara Digital bakal diwujudkan di Sungai Rambai Melaka dan di Larkin Johor.  Kedua-dua lokasi berkenaan akan mula beroperasi pada tahun hadapan yang mana ia dijangka mampu menarik penglibatan ramai usahawan ICT bumiputera di selatan tanah air.

Melihat kepada keperluan gajet dan teknologi yang semakin meningkat, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menjelaskan bahawa sasaran mereka adalah untuk membuka Mara Digital di setiap ibu negeri seluruh Malaysia seterusnya memfokuskan kepada kawasan yang lebih kecil seperti di daerah-daerah.

Sumber: Berita Harian