Mana Perginya Telefon Pintar Android One? Hilang Arah Tuju Atau Inisiatif Yang Gagal?

Tahun 2014, Google telah memperkenalkan program Android One bermula di India terlebih dahulu. Ia merupakan satu program untuk membawakan pengalaman Android asli dalam pakej bajet dengan kerjasama pengeluar tempatan.



Antara tarikan utama yang disertakan adalah perisian 'bersih' tanpa aplikasi tambahan dan juga kemaskini pantas terus dari Google.



Namun, program ini kurang mendapat sambutan tidak beberapa lama selepas itu disebabkan pengeluar hadir dengan perkakas yang kurang berkuasa cukup untuk menarik minat pembeli.

Hasil jualan juga kurang memberansangkan membuatkan Google kurang bekerjasama dengan pengeluar lain untuk menghasilkan model-model Android lain.

Nafas Baharu 2017


Google kemudiannya memberikan nafas baharu kepada program ini dengan menyemak semula strategi penawaran Android One. Daripada hanya menawarkan Android One dalam bentuk kelas permulaan, mereka mula mengembangkannya kepada kelas pertengahan.

Dengan kelas pertengahan, perkakas dan cip pemprosesan lebih berkuasa menyaksikan program Android One ini mula menerima ramai sambutan.

Lebih banyak senarai pengeluar mula ditambah, Xiaomi, Nokia dan Motorola adalah antara nama popular yang mula membawa nafas baharu Android One kepada pengguna lebih meluas.


'Kultus' Xiaomi Mi A1


Pada zaman inilah, Xiaomi telah memperkenalkan model Android One mereka melalui siri "A". Dengan model pertama Mi A1 pada bulan September 2017, ia membawakan pelancar ringkas Google menggantikan MIUI dengan harga rendah bersama-sama spesifikasi yang kompetitif.



Mi A1 merupakan antara telefon yang unik pada waktu itu kerana Android One seakan memberikan satu pengalaman baharu untuk menggunakan perkakas 'berkuasa' dengan harga rendah.

Menjadi antara model yang popular dalam inisiatif Android One, Xiaomi meneruskan model ini dengan melancarkan pula Mi A2 pada tahun 2018 dan Mi A3 pada 2019.



Tetapi untuk tahun 2020, tiada pula Mi A4 walaupun ramai yang menanti-nantikan model ini.

Adakah Xiaomi telah mula meninggalkan program Android One? Apakah puncanya?

Xiaomi Tinggalkan Android One?


Jika melihat dengan lebih lanjut, anda mula perasan bahawa Android One sebenarnya kurang menguntungkan Xiaomi jika diteruskan.

Yang pertama adalah dari segi aspek jualan di mana model telefon Android One gagal untuk menandingi jualan telefon versi MIUI mereka. Jika difikirkan, lebih baik sahaja Xiaomi memfokuskan satu versi sahaja berbanding memerah tenaga menghasilkan model yang kurang mengembalikan wang.

Seterusnya adalah, jika pada MIUI, Xiaomi boleh menjana pendapatan melalui iklan yang diletakkan pada perisian tersebut. Namun untuk telefon Android One, tiada iklan yang diletakkan menyebabkan Xiaomi tidak boleh menjana kewangan padanya.



Yang paling ketara adalah Xiaomi seakan kurang mengambil berat terhadap kemaskini perisian pada telefon Android One. Bayangkan model Mi A3 begitu lambat menerima kemaskini Android 10 rasmi.

Sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan kemaskini awal adalah antara sebab mengapa pengguna membeli telefon Android One.

Tahun 2020 pun dah sampai ke penghujung, tiada juga kedengaran model pengganti Mi A3 iaitu Mi A4, malah ura-ura pun tidak kedengaran langsung.

Mungkin Xiaomi sudah putus harapan dengan siri Android One mereka kerana tidak menguntungkan mereka.

Saki-Baki Android One Untuk 2020


Jika anda mahu membeli telefon Android One pada tahun 2020, hanya ada satu jenama yang masih lagi menghasilkannya iaitu Nokia. Jenama lain? Nahh tiada, semuanya sudah membawa haluan masing-masing.

Setakat artikel ini ditulis, Nokia hanya mengeluarkan kurang dari 5 model telefon Android One tahun ini.



 

Jika diperhatikan jumlah ini pun seakan hidup segan mati tak mahu kerana seolah-olah jika Nokia tidak menghasilkan telefon Android One, jenama mana lagi yang hendak melancarkannya?

Android One Janjikan Kemaskini, Tapi Masih Tiada Lagi Android 11 Rasmi


Jika dahulu perkara paling menggembirakan ketika menggunakan telefon Android One adalah tersenyum menerima kemaskini awal, namun kini tidak lagi.

Sudah 2 bulan sejak Android 11 dilancarkan secara rasmi, namun kelibatnya untuk Android One masih tidak kelihatan.



Pelancar jenama lain yang dikatakan tidak 'bersih' seperti One UI Samsung, ColorOS OPPO pula yang terima lebih awal berbanding Android One.

Masalah Android One Kini Paling Ketara


Android One tidak mempunyai masalah dari segi penawaran harga dan perkakas. Masalah utama mereka kini adalah kemaskini awal mereka.

Android One merupakan inisiatif untuk menghasilkan telefon dengan perisian bersih dan kemaskini awal. Namun jika kemaskini pun dapat lewat, ia seakan-akan bercanggah dengan idea dan konsep Android One itu sendiri.

Perlukah Membeli Telefon Android One Masa Kini?


Melihat kepada apa yang ditawarkan oleh Android One sekarang ini, seperti tiada apa yang menarik jika mahu membeli telefon Android One, kecuali satu perkara iaitu perisian bersih Android asli.

Selain dari itu, tiada sebab utama untuk membeli telefon sebegini melainkan jika anda sememangnya berminat dengan spesifikasi yang ditawarkan.



Sepatutnya Google lebih berkeras dengan pengeluar untuk memastikan kemaskini Android lebih diutamakan, namun jika Google sendiri pun tidak kisah dengan inisiatif Android One mereka ini, siapa lagi yang mahu kisah?