Mampukah Komputer Anda Memainkan Cyberpunk 2077?

Seperti semua sedia maklum, CD Projekt Red telah mengumumkan penangguhan pelancaran judul permainan yang paling dinanti-nantikan tahun ini iaitu Cyberpunk 2077.

Pada awalnya, Cyberpunk 2077 sepatutnya dilancarkan pada 16 April 2020. Tetapi ia kemudiannya dianjak ke 17 September. Namun begitu ia sekali lagi dianjak tarikh pelancarannya kepada 19 November pula.

Walaubagaimanapun, para peminat terpaksa menunggu lebih lama lagi selepas ia ditunda pula kepada 10 Disember 2020 nanti.

Disebalik penangguhan itu, ia mungkin berita baik kepada para peminat tegar permainan komputer kerana mereka mempunyai masa untuk menaik taraf perkakasan komputer mereka dengan spesifikasi terbaru yang lebih berkuasa.

Hasil semakan terhadap spesifikasi komputer yang diperlukan bagi memainkan judul permainan ini, komputer tersebut mestilah sekurang-kurangnya menjalankan sistem operasi Windows 7 (64 bit).

Kuasa pemprosesan minimum pula perlulah dijana oleh Intel Core i5-3570K atau AMD FX-8310 dengan kuasa grafik yang dibekalkan dari NVIDIA GeForce GTX 780 atau AMD Radeon RX 470. Memori RAM pula sekurang-kurangnya memiliki 8GB RAM.

Tetapi adalah lebih baik anda memainkan Cyberpunk 2077 dengan spesifikasi komputer yang dicadangkan oleh pembangun permainan ini  bagi mendapatkan kepuasan prestasi dan grafik berkualiti yang ditawarkan dalam permainan itu.

Berikut adalah spesifikasi yang disyorkan untuk memainkan judul permainan Cyberpunk 2077 pada komputer anda:-

  • Sistem operasi: Windows 10 (64-bit)

  • CPU: Intel Core i7-4790 atau AMD Ryzen 3 3200G

  • RAM: 12GB

  • GPU: Nvidia GeForce GTX 1060 6GB atau AMD Radeon R9 Fury

  • Direct X: Version 12

  • Ruang storan : 70GB SSD


Jadi jika komputer anda perlukan naik taraf perkakasan untuk memainkan permainan ini, bolehlah lakukannya sebelum ia ditawarkan.

Cyberpunk 2077 untuk platform komputer sudah boleh dipra-tempah dari laman Steam, Epic Games dan Gog.com pada harga RM219.00.