Malaysia Pelawa Jack Ma Kerjasama Bangun Ekonomi Digital Malaysia

Malaysia bakal mempelawa taikun internet China, Jack Ma untuk bekerjasama dalam membangunkan ekonomi digital Malaysia, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Menurut Irwan, pertemuan yang dijadualkan berlangsung antara Perdana Menteri, Najib Razak dan pengasas Kumpulan Alibab itu antara lain untuk membincangkan perkara tersebut.

"Kita akan bincang dengan dia untuk membawa ideanya (ke Malaysia), dan ada juga ura untuk melantiknya dalam anggota majlis digital," katanya kepada Bernama.

Irwan berkata ekonomi digital ialah sesuatu yang mana Malaysia boleh belajar dan bekerjasama dengan China dan ia merupakan satu trend bukan hanya sekarang tetapi untuk 10 ke 20 tahun akan datang.

Kerjasama itu akan memberi lebih manfaat kepada Malaysia, bukan hanya dalam konteks pembangunan modal insan tetapi kemajuan ekonomi, katanya.

Dalam Bajet 2017, sejumlah RM162 juta telah diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk program seperti ekosistem e-dagang dan Digital Maker Movement, serta pengenalan kategori lokasi baharu yang dipanggil Hab Digital Malaysia.

Ekonomi digital Malaysia setakat ini menyumbangkan 16.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka menyumbang hampir 20 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

Berkaitan