Malaysia Menjadi Rakan Forum 5G APAC GSMA

Komuniti eksklusif yang memacu rangkaian mudah alih 5G di rantau Asia Pasifik.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan bahawa Malaysia secara rasminya kini menjadi anggota Forum 5G Apac GSMA.

Ia adalah langkah ke depan dalam memacu pembangunan 5G di Malaysia.

Forum 5G Apac GSMA ini mula diasaskan pada 25 September 2019 lalu di Malaysia dianggotai oleh wakil industri dan agensi kerajaan di rantau Asia Pasifik.

Komuniti ini bertujuan mencari kaedah terbaik untuk memacu perkembangan dalam pelbagai segmen berkaitan 5G di rantau ini.

Antara pemain utama industri telekomunikasi yang telah menyertai komuniti ini adalah KDDI dan NTT DOCOMO dari Jepun, KT, SK Telecom dan LG UPlus dari Korea Selatan.


SKMM memaklumkan, penyertaan Malaysia yang diwakili oleh SKMM sebagai anggota forum itu dicapai ketika pertemuan Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak bersama Ketua GSMA Asia Pasifik, Julian Gorman pada 20 Januari lepas di Langkawi, Kedah.

Jadi dengan penglibatan Malaysia di dalam komuniti antarabangsa ini,  ia juga akan menjadi sumber rujukan dalam menetapkan dasar dan peraturan terbaik bagi merangsang inovasi dan pengalaman berasaskan 5G di Malaysia.

Ia juga sekaligus akan dapat dimanfaatkan oleh pengusaha pelbagai jurusan industri dan seluruh rakyat Malaysia.




Selain itu, ahli komuniti forum juga diberi keutamaan untuk mengakses khidmat kepakaran, persidangan, makmal dan kajian-kajian yang dilakukan oleh GSMA.

Kepercayaan yang diberikan GSMA terhadap SKMM dalam mewakili Malaysia sebagai ahli forum juga adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan SKMM sebagai peneraju pembangunan 5G di Malaysia.

Berkaitan