Majoriti Rakyat Malaysia Menunjukkan Minat Untuk Menggunakan NDID

Hasil rundingan awam yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengumpul pandangan orang ramai terhadap pembangunan Rangka Kerja Identiti Digital Nasional (NDID) mendapati, majoriti rakyat malaysia berminat untuk menggunakan NDID.

Rumusan SKMM itu adalah hasil dariĀ 35,160 maklum balas daripada orang awam dan 223 lagi daripada kementerian, agensi-agensi kerajaan serta organisasi swasta.

NDID adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Rundingan awam rangka kerja NDID ini telah dijalankan dari 13 Julai sehingga 7 Ogos 2020 lalu.

Menurut SKMM, sebanyak 97% responden meramalkan bahawa NDID akan memudahkan proses pengenalan dan pengesahan pelanggan manakala majoriti responden pula menunjukkan minat untuk menggunakan NDID.

Responden juga bersetuju bahawa NDID berpotensi untuk meminimumkan kos keseluruhan untuk proses pengesahan identiti.

Malah secara keseluruhan, 94% kementerian dan agensi menunjukkan minat dan memberi pandangan positif terhadap pelaksanaan NDID.

Hasil keputusan rundingan ini akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja NDID yang sesuai untuk Malaysia.

Berkaitan