Isu ‘bidding’ dalam kalangan pemandu e-hailing akan dijadikan antara perkara awal yang bakal dibincangkan di bawah Majlis Perundingan Gig bagi memastikan kepentingan pemandu, platform dan pengguna kekal seimbang.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata selaras dengan Bahagian VI Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan sebaik sahaja perundangan itu dikuatkuasakan kelak.
Majlis ini merupakan platform tripartit yang melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak, berfungsi untuk menasihati serta mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai, serta perkara lain yang melibatkan kebajikan dan kepentingan pekerja gig.
Majlis Perundingan Gig juga akan menjadi platform dialog dan rundingan berterusan berkaitan dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig, termasuk usaha memastikan pekerja gig memperoleh pendapatan yang lebih stabil dan adil.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media tempatan berkait isu penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar atau bidding yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).
Dalam pada itu, KESUMA turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan MOT dalam menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
Terdahulu, Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 telah diluluskan pada Ogos dan September lalu dan kini dalam proses pewartaan. Selanjutnya, RUU itu dicadang untuk dikuatkuasakan menjelang 2026.
{suggest}
