Mahu Kurang Bergantung Pada Android, Facebook Bangunkan Sistem Operasi Sendiri

Sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan kepada sistem operasi Android pada masa hadapan, Facebook dilaporkan sedang membangunkan sistem operasi mereka sendiri.

Menurut The Information, pembangunan tersebut bakal dikendalikan oleh Mark Lucovsky, yang juga pernah terlibat dalam pembangunan Windows NT. Laporan tersebut menyatakan, dengan adanya sistem operasi yang tersendiri Facebook pada masa hadapan tidak akan bergantung kepada Google. Ini adalah dari segi penggunaan perkakasan Facebook yang menggunakan perisian Google, seperti Oculus dan paparan pintar Portal.

“We really want to make sure the next generation has space for us,” ujar ketua perkakasan Facebook, Andrew Bosworth kepada The Information. Bosworth berpendapat bahawa syarikatnya mungkin tidak boleh mempercayai pasaran atau pesaing dalam hal ini. Sekaligus langkah mempunyai sistem operasi tersendiri adalah dilihat lebih baik.

Selain daripada Oculus dan Portal, Facebook juga sedang giat membangunkan peranti realiti terimbuh berupa kacamata. Disebut dengan kod nama "Orion", ia dijangka diperkenalkan sekitar 2023. Kacamata tersebut dikatakan berupaya dikawal melalui fikiran pengguna.

Melalui sistem operasi tersendiri itu, Facebook mempunyai lebih kawalan selain lebih bebas mengimplementasinya pada perkakasan mereka. Ini bukanlah kali pertama Facebook menjalankan inisiatif membangunkan sistem tersendiri. Kira-kira enam tahun yang lalu, gergasi media sosial ini sedia memperkenalkan Facebook Home, sistem Android yang diubahsuai serta digunapakai pada HTC First.

Sumber: The Verge