Mahu Jimatkan Data? Boleh Ikuti Langkah-Langkah Mudah Ini

Penggunaan data dalam kalangan pengguna semakin lama semakin meningkat. Tiada masalah jika anda sentiasa mempunyai akses kepada WiFi atau data tanpa had. Namun bagi yang terikat dengan kuota, beberapa langkah mungkin boleh menjimatkannya.

1. Tetapkan had penggunaan data pada peranti Android anda

Ia merupakan langkah paling mudah untuk digunakan. Tetapan boleh dibuat pada bahagian Settings > Network & Internet >Data Usage > Set data limit dan tetapkan had data. Sekiranya anda gunakan data melebih kapasiti yang ditetapkan, peranti akan menyahaktifkan fungsi data mudah alih.

Pada bahagian tetapan itu juga terdapat Data Saver, dimana ia menghalang aplikasi yang anda pilih dari menghantar dan menerima data secara latarbelakang.

2. Gunakan Data Saver pada Chrome

Rata-rata pengguna gemar menggunakan Google Chrome sebagai aplikasi pelayar. Chrome tersedia dengan ciri Data Saver yang apabila diaktifkan, semua trafik akan melalui proxy yang dijalankan oleh Google.

Data anda akan dimampatkan dan dioptimumkan sebelum dihantar ke dalam peranti. Ia dijanjikan dengan 60% penjimatan data dan juga mempercepatkan akses kepada halaman tanpa perubahan signifikan dalam kandungan web tersebut.

Untuk menetapkannya, buka Chrome, tekan titik tiga bertindih diatas kanan, pilih Settings, dan tekan Data Saver.

3. Kemaskini aplikasi dan peranti hanya menggunakan WiFi

Anda mungkin kerap kali terlihat aplikasi pada peranti dikemaskini oleh Google PlayStore secara automatik. Untuk jimat pastinya anda mahu gunakan WiFi.

Untuk matikan fungsi kemaskini automatik Google PlayStore, buka aplikasi itu, pergi ke ikon tiga baris bertindih, Settings > Auto-update apps dan pilih Auto-update apps over WiFi only.

Terdapat juga pilihan Dont auto-update apps, tetapi ia tidak digalakkan kerana anda mungkin terlupa untuk mengemaskini aplikasi secara manual.

4. Kurangkan perkhidmatan penstriman

Penstriman video dan muzik banyak menggunakan data dan sekiranya anda tidak mempunyai data tanpa had serta wifi, boleh kurangkan aktiviti menstrim secara dalam talian.

Kebanyakkan aplikasi penstriman seperti Netflix, Spotify, Apple Music dan lain-lain mempunyai ciri muat turun kandungan bagi kegunaan diluar talian untuk menjimatkan data anda.

5. Jimat data ketika menggunakan YouTube

YouTube mempunyai ciri muat turun untuk vide0. Anda boleh gunakan WiFi untuk muat turun video terlebih dahulu dan ia boleh ditonton secara luar talian dalam masa 29 hari.

Selepas itu anda memerlukan sambungan kepada rangkaian untuk memastikan video yang disimpan itu masih berada dalam ruang simpanan.

Selain itu anda juga boleh mengehadkan penggunaan data pada aplikasi YouTube dengan cara pergi ke bahagian Settings > General dan pada Limit mobile data usage tetapkan penstriman video HD ketika sambungan WiFi sahaja.

6. Jimatkan data ketika menggunakan aplikasi Google Maps

Sebelum memulakan perjalanan, anda boleh memuat turun peta dari Google Maps ke dalam telefon pintar. Ia juga berguna apabila kawasan yang dituju itu tidak mempunyai liputan telco yang anda gunakan. Cara memuat turun boleh rujuk disini.

7. Jimatkan data ketika menggunakan Facebook

Facebook mempunyai ciri memainkan video secara automatik pada newsfeed. Untuk itu, anda boleh mematikan ciri tersebut dengan cara pergi ke simbol tiga titik bertindih diatas kanan, seterusnya tekan Settings & Privacy > Settings > Media and Contacts > Autoplay.

Aplikasi ini turut mempunyai ciri Data Saver, apabila diaktifkan ia akan mengurangkan kualiti imej dan turut menyekat video dari dimainkan secara automatik.

8. Jimatkan data ketika menggunakan Instagram

Secara default, Instagram memuatkan video terlebih dahulu supaya ia bermula dengan lebih pantas. Jika anda ingin mengurangkan jumlah data selular yang digunakan, anda boleh menukar tetapan itu.

Pergi ke Instagram Profile > Settings > Account> Cellular Data Use > Use Less Data. Tetapi harus diingat, ia akan menjejaskan pengalaman anda menggunakan aplikasi. Seperti contoh foto dan video mengambil sedikit masa untuk load.

Jadi bagi anda yang melanggan data mudah alih tetapi terhad kepada kuota, cara-cara diatas boleh dilaksanakan untuk menjimatkan lagi data internet anda.

Berkaitan