Magic UI Honor Akan Berwajah Baru, Keluar Dari Kepompong EMUI - Presiden APAC

Krisis yang melanda hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat dan syarikat pengeluar telefon pintar dari China iaitu Huawei dilihat masih tiada jalan penyelesaian.

Perkara ini juga menyebabkan sub-jenama Huawei iaitu Honor, turut merasai tempiasnya.

Baru-baru ini, bersempena pelancaran peranti terbarunya iaitu Honor 9X, kami berkesempatan menemubual Presiden Honor APAC iaitu Ou Yiwei.

Dalam temu-bual tersebut, kami juga dapat memahami strategi mereka untuk tahun mendatang memandangkan ketiadaan lesen Google.



Seperti Huawei, Honor turut mengambil langkah yang sama dengan mengembangkan ekosistem milik mereka sendiri menggunakan kaedah dipanggil (1+8+N).

Satu telefon pintar dapat di selaraskan bersama 8 peranti pintarĀ  mereka yang lain untuk pelbagai lagi aplikasi lain dengan meluas.

Pada tahun depan, kita akan dapat lihat lebih banyak aksesori pintar dari Honor. Buat masa ini, Honor Band 5 adalah yang paling berjaya.

Ada beberapa lagi peranti pintar seperti TV Honor Vision, komputer riba Honor Magic Book sudah pun dipersembahkan dalam acara yang sama.

Honor Sport PRO fon telinga sudah pun dilancarkan manakala Honor MagicWatch 2 turut diacah dalam perasmian Honor 9X.

Kesan Terhadap Halangan Google Mobile Services


Kami juga sempat bertanya tentang isu Honor 9X terpaksa menggunakan cip Kirin 710 yang lama. Ou Yiwei akur dengan perkara tersebut.

Katanya, Honor 9X sepatutnya dibekalkan dengan cip yang lebih berkuasa tetapi Kirin 810 tidak membenarkan penggunaan servis Google (GMS) pada peranti baru mereka.

Pihak mereka juga berkata pengguna di Malaysia masih lagi selesa dengan penggunaan GMS.

Tidak dinafikan, walaupun Huawei App Gallery sudah memiliki beratus ribu aplikasi di dalamnya, tetapi kebanyakkan aplikasi tersebut tidak relevan untuk pengguna di Malaysia yang rata-rata masih tidak bersedia dengan HMS.



Menurutnya lagi, Honor 9X membawa penambahbaikkan terhadap keupayaan kameranya dengan rekaan yang lebih segar, sesuai untuk golongan remaja.

Kamera Honor 9X menggunakan tetapan yang sama digunakan oleh peranti flagship mereka yang lain seperti Honor 20 dan Honor View20. Anda boleh baca ulasan kami tentang honor 9X di sini

Kami juga sempat bertanya tentang khabar angin yang mengatakan Huawei tidak lama lagi akan menerima lesen Google.

Pihak mereka menepis dakwaan tersebut kerana perbincangan masih lagi berlanjutan dan adalah tidak elok untuk percaya apa yang tidak pasti.

Beliau juga menegaskan bahawa ketika ini, pihak Huawei/honor dengan Google masih lagi mempunyai hubungan yang baik dan sedia untuk berkolaborasi untuk sistem yang lebih terbuka pada masa hadapan.

Perancangan Masa Depan Honor


Ou Yiwei juga amat yakin bahawa ekosistem (HMS) ini adalah yang terbaik berbanding pesaing-pesaing yang lain.

Pihak Huawei telah mengeluarkan belanja yang besar dalam menjalankan RND dan membina ekositem mereka sendiri (HMS). Jadi ia mungkin sesuatu pelaburan yang rugi jika mereka berhenti di tengah jalan.

Secara tidak langsung menunjukkan betapa Huawei/Honor tidak langsung pandang ke belakang.

Dengan Huawei pada ketika ini menduduki tangga kelima syarikat yang menjalankan RND paling besar di seluruh dunia, mereka adalah satu-satunya syarikat yang berkemampuan untuk melakukan sedemikian.

Mengenai antaramuka MagicUI, Ou Yiwei mengesahkan Honor akan membawakan perubahan segar, berbeza daripada EMUI.

Menurutnya lagi, perubahan dari segi penggunaan terutamanya pada aplikasi kamera akan berbeza untuk MagicUI 3.0 akan datang.

Peranti flagship mereka, Honor V30 juga akan diperkenalkan kelak dengan antaramuka Magic UI 3.0 berwajah baru. Sama-sama kita nantikan.