Sejak kebelakangan ini, ramai yang mencari sebuah komputer riba memandangkan ia sudah menjadi satu keperluan asas bukan sahaja golongan bekerja tetapi juga pelajar.
Machenike merupakan jenama daripada China yang mengeluarkan produk komputer riba serta aksesori seperti tetikus, fon kepala dan lain-lain.
Apa yang penting, tanda harganya adalah mampu milik dan sesuai untuk melakukan tugasan atau bermain game.
Dalam artikel ini, kami mempunyai sebuah produk daripada mereka, iaitu komputer riba Machenike Machreator A. Seperti yang anda baca pada tajuk di atas, mari kita lihat mengapa komputer riba ini mesra bajet.
Reka Bentuk
Pertama sekali, komputer riba ini tampil dengan rekaan yang agak moden dan tidak terlalu pelik walaupun namanya jarang didengari.
Skrinnya berukuran 15.6 inci dengan tubuh diperbuat daripada aluminium serta berat dalam 1.65kg. Dari segi paparan, ia mempunyai resolusi 1080p FHD dengan panel IPS.
Bila bercakap tentang panel IPS, anda boleh menjangkakan sebuah paparan yang cantik. Pun begitu, ia hadir dengan Matte Display yang mana visual dilihat tidak begitu tajam.
Namun, paparan sebegini masih ramai peminat terutama golongan gamer. Ini kerana ia lebih mudah dilihat berbanding paparan yang glossy. Selain itu, skrinnya juga mempunyai bezel nipis, cukup memberi kepuasan ketika mana untuk layan kandungan YouTube atau drama mahupun filem.
Dari segi sambungan, ia memadai bagi kegunaan yang diperlukan. Terdapat 1x USB-C 3.1, 1x USB-C 2.0, 1x HDMI dan lubang kuasa pada sisi kanannya. Sementara bahagian kiri, lengkap dengan Kensington Lock slot, 1x pembaca kad mikroSD, 2x USB-A 2.0, 1x 2-dalam-1 bicu audio dan 1x RJ45 LAN Port.
Beralih pada papan kekunci, susun aturnya adalah jenis full size, iaitu mempunyai numpad juga. Jarak antara satu kekunci (key) dengan kekunci tidak terlalu jauh tetapi apabila sedang menaip, ia agak ke dalam.
Binaan papan kekuncinya bukanlah solid kerana ketika anda menaip dengan laju, boleh terasa flex atau lentur ke dalam. Tidak mengapa kerana sesuai dengan harga yang ditawarkan.
Bagi pad sentuh (touch pad), ruangnya cukup luas untuk menggunakan gestur. Ketepatan ketika menggerakkan cursor dan sebagainya juga cukup baik, mungkin tiada masalah sekiranya anda terlupa membawa tetikus kerana adanya pad sentuh yang boleh diharap.
Spesifikasi Dan Prestasi
Buat pengetahuan, komputer riba yang berada pada kami ini adalah varian yang tertinggi dengan 16GB RAM dan storan dalaman 512GB NVMe SSD.
Apa-apa pun, Machenike Machcreator A dijana cip pemproses Intel Core i3-10110U dengan grafik Intel UHD 620 serta bateri berkapasiti 36Wh.
Konfigurasi memori bermula dengan 8GB DDR4 RAM dengan satu slot tambahan. Jadi, anda boleh menaik taraf RAM sekiranya mahu pengalaman multitugasan lebih cemerlang.
Secara keseluruhan, prestasinya sesuai dengan harga yang dilaburkan. Penggunaan aplikasi-aplikasi “office” serta melayari pelayar web sememangnya tidak memberikan masalah, Machreator A mampu berikan kepuasan yang diinginkan. Baterinya juga boleh memberikan sekitar 4 hingga 5 jam untuk penggunaan asas yang tidak terlalu berat.
Kelebihan Dan Kekurangan
Golongan pelajar atau pendidik mungkin suka akan komputer riba ini kerana skrinnya boleh dilipat sehingga 180 darjah. Oleh itu, anda tidak lagi perlu pusing-pusingkan ‘laptop’ untuk menunjukkan kerja anda.
Tambahan lagi, kamera web yang hadir bersamanya memang cukup baik. Mempunyai resolusi 720p, kualiti gambarnya sangat cemerlang terutama untuk ‘laptop’ yang berharga sebegini. Memang cukup tepat bagi anda yang sering menggunakan kamera web untuk kelas atau meeting.
Namun, kekurangan yang terdapat pada Machcreator A ini adalah pembesar suaranya. Jujur dikatakan pembesar suara yang diberikannya amatlah tidak sedap.
Alangkah indah jika ia mempunyai pembesar suara yang sedikit baik daripada sekarang. Ini kerana terdapat juga individu yang gemar menggunakan pembesar suara sahaja.
Oleh itu, mungkin anda perlukan pembesar suara Bluetooth atau USB atau fon telinga yang baik sekiranya mahu menonton filem. Kekurangan lain adalah papan kekuncinya tidak hadir dengan pencahayaan atau backlit. Jadi, kurang sesuai untuk menggunakannya dalam kawasan yang kurang cahaya.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Machenike Machcreator A ini memang sesuai untuk anda yang mencari komputer riba bagi kegunaan tugasan harian atau golongan pelajar yang mahu membuat ‘assignment’.
Pakej yang diberikannya memang cukup baik dan kena dengan situasi sekarang. Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, harganya mesra bajet.
Machenike Machreator A dijual dengan tanda harga kurang daripada RM2000. Memandangkan jualan 10.10 sudah hampir tiba, komputer riba ini boleh didapati pada hanya RM1949 sahaja untuk varian standard. Sementara yang tertinggi pula RM2419 di kedai rasmi Machenike menerusi Lazada.