MacBook Terbaru Apple Menjadi MacBook Pertama Yang Tidak Disyorkan Oleh Consumer Reports

Consumer Reports, sebuah majalah ulasan produk terkemuka berkata ia tidak dapat mengesyorkan MacBook Pro terbaru keluaran Apple - menjadikan MacBook generasi itu yang pertama tidak mendapat rating tinggi dari majalah terbabit.

Generasi terbaru MacBook itu, yang dikeluarkan pada November, menampilkan ciri Touch Bar di atas papan kekunci yang bertujuan untuk menggantikan kekunci fungsi dan integrasi dengan Touch ID yang membolehkan pengguna melog masuk ke dalam laptop menggunakan cap jari.

Namun, ciri inovatif itu dilihat tidak mampu menginspirasi Consumer Report untuk menyarankan MacBook kepada orang ramai.

Beberapa faktor seperti jangka hayat bateri yang tidak konsisten menjadi punca produk itu dirating rendah oleh majalah tersebut.

"Ini adalah perbezaan yang ketara berbanding MacBook sebelum ini", tulis Consumer Reports dalam ulasannya pada Khamis.

Majalah itu menguji tiga versi MacBook terbaru (model 13 inci dengan Touch Bar, model 13 inci tanpa Touch Bar, dan model 15 inci dengan Touch Bar). Kesemua model itu mengeluarkan keputusan jangka hayat bateri yang tidak konsisten ketika ujian.

Seperti contoh, model 13 inci tanpa Touch Bar bertahan selama 16 jam dalam ujian pertama dan 12.75 jam pada cubaan kedua. Di cubaan ketiga, bateri MacBook itu cuma bertahan selama 3.75 jam.

"Jangka hayat bateri merupakan attribut yang penting bagi laptop dan ia merupakan satu bahagian yang besar dalam keseluruhan markah kami", tulis laporan itu.

"Selepas mengambil kira semua ujian lengkap, Consumer Reports mendapati ketiga-tiga MacBook Pro gagal memenuhi piawaian untuk menjadi model yang disyorkan

Fortune pada bulan ini melaporkan, bateri yang tidak konsisten sememangnya menjadi isu bagi MacBook Pro baru selepas ia mula memasuki pasaran. Pengguna mula membuat aduan bahawa bateri laptop itu tidak panjang seperti yang dijanjikan oleh Apple.