Lima Telefon Pintar Dengan Kamera Terbaik Di Bawah Paras Harga RM 1,000

Mengambil gambar kenangan atau swafoto kian menjadi kegilaan pengguna telefon mudah alih hari ini. Kita tidak lagi perlu membawa kamera digital ke sana dan ke mari kerana hari ini terdapat banyak pilihan telefon pintar yang mampu mengambil gambar dengan baik. Malah ada syarikat pengeluar yang berani mendakwa peranti mereka mampu mengambil gambar setanding dengan jurugambar profesional.

Namun, ramai yang berpendapat peranti dengan kamera yang bagus pasti akan hadir dengan harga yang tinggi. Ya, memang benar tetapi ada juga peranti yang tidak memerlukan anda untuk mengeluarkan belanja yang besar untuk kualiti kamera yang baik. Walaupun kualitinya tidaklah setanding dengan kualiti kamera yang ada pada peranti kelas perdana, ianya cukup bagi memberikan anda kualiti gambar yang cantik untuk dikirimkan di laman media sosial atau disimpan sebagai kenangan.

Maka, pada kiriman kali ini, Wiser MY akan bantu anda untuk mengenalpasti lima telefon pintar dengan kamera terbaik di bawah paras harga RM 1,000. Harus diingatkan bahawa senarai yang di bawah tidak mengikut sebarang urutan.

1.Vivo Y85 / Vivo V9 Youth (4GB + 32GB)



Peranti ini boleh didapati dengan harga sekitar RM 925 pada hari ini. Dilancarkan di pasaran Malaysia pada awal Jun tahun ini, Vivo Y85 yang juga dikenali sebagai Vivo V9 Youth ini hadir dengan kamera dwi-lensa 13MP + 2MP dengan bukaan aperture f/2.0 serta kamera swafoto 16MP dengan bukaan lensa f/2.0. Ia juga hadir dengan fungsi kecerdasan buatan, AI Selfie. Peranti ini juga mampu merakam video dengan kualiti 1080p pada 30fps.


Spesifikasi Lain : Paparan IPS LCD 6.3-inci FHD, Qualcomm Snapdragon 450, Bateri 3,260 mAh, Android 8.1 Oreo


(Kredit : Vivo)


2. Asus Zenfone Max Pro M1 (4GB + 64GB)

Hadir dengan reputasi sebagai peranti yang mempunyai kapasiti bateri yang besar(5,000 mAh) serta penggunaan sistem Android tulen, Asus Zenfone Max Pro M1 ini dijual pada harga RM 849 dan diperkenalkan bagi pasaran tempatan pada hujung bulan Mei yang lalu. Selain menfokuskan kepada tempoh permainan video yang lebih lama, kamera peranti ini juga tidak kurang hebatnya. Ia hadir dengan dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 16MP dan 5MP serta kamera hadapan 5MP dengan fungsi bokeh.

Ia hadir dengan dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 16MP dan 5MP serta kamera hadapan 5MP dengan fungsi bokeh. Kamera swafotonya pula hadir dengan fungsi Live Beautification. Rakaman video pada peranti ini mampu mencapai sehingga 2160p pada 30fps/ 1080p pada 60fps. 

Spesifikasi Lain : Paparan IPS LCD 6-inci FHD+, Qualcomm Snapdragon 636, Android 8.1 Oreo (Android Tulen)


(Kredit : ASUS)


3. Huawei Nova 2i (4GB + 64GB)

Dilancarkan pada September 2017 pada tanda harga RM 1,299, Nova 2i kini boleh didapati dengan harga RM 839 sahaja. Peranti ini bukan sahaja mempunyai kamera utama dwi-lensa(16MP + 2MP) malah ia juga menggunakan dwi-lensa(13MP + 2MP) pada kamera swafotonya. Kamera peranti ini juga hadir dengan fungsi bokeh. Dari segi rakaman video, ia boleh merakam pada kualiti 1080p pada 30fps.

Anda juga boleh mengubah fokus imej yang diambil selepas mengambil gambar melalui peranti ini. Selain itu, ia turut menyokong fungsi gambar bergerak selama 2 saat.

 

Spesifikasi Lain : Paparan IPS LCD 5.9-inci FHD+, HiSilicon Kirin 659, Bateri 3,340mAh, Android 7.0 Nougat


(Kredit : Huawei)


4. Vivo V7 (4GB + 32GB)

Vivo menggunakan slogan ‘Perfect Shot. Perfect View’ semasa melancarkan peranti ini hujung tahun lalu. Kini dijual dengan harga RM 899 berbanding RM 1,199 semasa dilancarkan, peranti ini mempunyai kamera swafoto dengan lensa 24MP dengan bukaan aperture f/2.0 bagi memberikan anda imej yang jelas dan cantik walaupun dalam keadaan kurang cahaya. Kamera utamanya juga tidak mengecewakan.

Ia hadir menggunakan lensa tunggal 16MP f/2.0 dan hadir dengan fungsi bokeh. Bagaimanapun, fungsi bokeh pada kamera swafotonya adalah lebih memuaskan daripada kamera utama. Rakaman video pada 1080p@30fps mampu dihasilkan menggunakan Vivo V7 ini.

Spesifikasi Lain : Paparan IPS LCD 5.7-inci, Snapdragon 450, Bateri 3,000mAh, Android 7.1 Nougat


(Kredit : Vivo)


5. Asus Zenfone 4 Max Pro (3GB + 32GB)

Satu lagi peranti Asus, Zenfone 4 Max Pro mempunyai tanda harga terkini pada RM 559, yang juga merupakan peranti termurah dalam senarai ini. Ia diperkenalkan bagi pasaran tempatan dengan harga RM 1,099 pada Ogos 2017. Peranti ini hadir dengan gabungan lensa 13MP+13MP dengan aperture f/2.0 manakala kamera hadapannya turut menggunakan lensa 16MP juga dengan bukaan lensa f/2.0.

Bukan sahaja boleh merakam pada 1080p@30 fps, malah rakaman video peranti ini turut menerima sokongan penstabilan imej elektronik(EIS) bagi membolehkan sebarang gegaran pada video yang dirakam, dibawa keluar.

Spesifikasi Lain : Paparan IPS LCD 5.5-inci HD, Snapdragon 425, Bateri 5,000mAh, Android 7.0 Nougat


(Kredit : ASUS)


 

Kami berharap dengan penyenaraian ini dapat membantu serba sedikit untuk anda memilih peranti dengan kualiti kamera yang baik sesuai dengan bajet dan keperluan anda. Sebagai peringatan, piksel lensa bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kualiti sesebuah kamera peranti itu, namun ia adalah merupakan faktor utama dalam penentuan tersebut.