Lima Perkara Yang Kami Mahukan Dalam Permainan FIFA 20

Tidak lama lagi, kita akan memasuki bulan terakhir dalam kalender liga bola sepak utama Eropah.

Tapi kami bukan mahu bercakap mengenai siapa juara EPL atau Liga Juara-Juara, sebaliknya ingin membincangkan beberapa perkara yang kami idamkan dalam permainan video bola sepak popular, FIFA 20 nanti.

Bagaimanapun, suka kami ingatkan bahawa ia hanyalah pendapat kami sahaja dan anda juga dialu-alukan untuk memberi pendapat masing-masing.

1. Sidang media khas 



Sidang media khas selepas membeli pemain bintang atau menjelang perlawanan derbi dalam "Career Mode" adalah salah satu penambahan yang menarik.

Lebih menarik sekiranya apa yang diperkatakan dalam sidang media itu dapat mempengaruhi moral pemain menjelang perlawanan atau pemain yang baru ditandatangani.

2. Permainan ala FIFA Street

Kapsyen: The Journey FIFA 19


Pada mod "The Journey" dalam FIFA 19, pemain diberi peluang untuk bermain ala futsal 3v3 bersama Rio Ferdinand dan Henry di babak-babak akhir permainan.

Pasti menarik sekiranya EA dapat menyediakan mod khas bagi permainan sebegitu dalam FIFA 20 nanti.

3. Gunakan wang pendapatan untuk sesuatu

Kapsyen: Sheik Mansour, pemilik Man City/Express UK


Sama seperti pemain, pengurus pasukan juga akan dibayar gaji oleh kelab setiap minggu. Namun, siapa yang mengambil kira mengenai gaji ketika menerima tawaran dari kelab lain dalam FIFA?

Ia berlaku kerana wang gaji itu tiada fungsi langsung kepada kita sebagai pengurus. Saya masih ingat lagi di mana dalam FIFA Manager, pengurus dibenarkan membeli pelbagai aset termasuklah kelab itu sendiri.

Nampak tidak logik, tetapi ia boleh menambah keseronokan ketika bermain.

4. Diving



Kebolehan untuk diving atau menjatuhkan badan dengan sengaja sebenarnya pernah ditawarkan pada FIFA 99 namun dibawa keluar atas alasan ia menggalakkan penipuan dalam bola sepak sebenar.

Akan tetapi, ia masih dilakukan oleh pemain bola sepak sebenar dan dengan kemasukan semula fungsi ini mampu menambahkan faktor realistik dalam FIFA 20 nanti.

5. Bangunkan sebuah kelab

Permainan FIFA Manager pernah menawarkan fungsi untuk pemain membangunkan kelab mereka sendiri. Memandangkan EA tidak lagi menghasilkan permainan tersebut, alangkah baiknya jika mereka membawa fungsi ini pada FIFA 20.

Kapsyen: This Is Anfield


Melaluinya pemain dapat membangunkan kelab dari liga bawahan, memilih penaja jersi, cipta lencana dan jersi kelab, tentukan harga tiket, naik taraf kemudahan mahupun memilih barisan jurulatih.

Oh ya, semua itu boleh dilaksanakan dalam permainan Football Manager. Tapi, kami mahu lakukannya di FIFA.

(Bonus) Be-A-Referee

Kapsyen: FIFA


Ia adalah mod yang paling saya idamkan dalam siri FIFA. Menjadi pengadil perlawanan adalah salah satu tugas yang paling sukar dalam bola sepak.

Setiap keputusan yang dibuat boleh mempengaruhi perlawanan. Bantuan video atau VAR mungkin akan dapat membantu pemain dalam menentukan keputusan yang dibuat.

Perkara ini agak sukar untuk menjadi kenyataan, tetapi jika ditanya mengenai mod impian, ini adalah mod impian saya secara peribadi.

Bagaimana pula dengan FUT? Tiada, bagi kami apa yang ada pada FUT hari ini sudah cukup sempurna.

FIFA 20 dijangka akan dilancarkan pada September nanti dan ia sudah pasti akan menjadi tumpuan peminat permainan video dan bola sepak dunia, di samping Pro Evolution Soccer(PES).

Apa pula yang anda mahukan secara peribadi bagi FIFA 20? Kongsikan bersama kami di ruangan komen.