Lima Negara Dengan Sambungan Internet Terpantas Tahun 2018

Sejak memegang jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo telah beberapa kali menyatakan pendiriannya untuk menaiktaraf kualiti sambungan internet negara dari segi kepantasan dan harga yang ditawarkan. Usaha beliau sudah memperlihatkan hasil apabila penyedia perkhidmatan internet terbesar negara, Telekom Malaysia(TM) telah mengumumkan satu harga baru bagi pelan di bawah jenama Unifi.

TM telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan pakej Unifi dengan kelajuan 30 Mbps pada harga di bawah paras RM 100. Walaupun berpuas hati dengan harga baru itu, pengguna internet di Malaysia dilihat lebih memilih untuk internet lebih pantas berbanding harga yang lebih murah.

Permintaan mereka itu mempunyai asas yang baik kerana menurut Speedtest.net, Malaysia sekadar menduduki tangga ke-59 di dunia bagi ranking kelajuan internet dengan purata kelajuan muat turun pada 26.22 Mbps sahaja. Kita sebenarnya ketinggalan berbanding negara yang memiliki status ekonomi yang sedikit rendah seperti Uruguay dan Barbados.

Jadi, negara mana pula yang memiliki sambungan internet terpantas di dunia pada tahun ini? Di sini kami sediakan lima negara dengan sambungan internet terpantas di dunia. Kelajuan yang dinyatakan adalah bagi purata kelajuan muat turun per saat(Mbps) bagi  internet jalur lebar.



5. Romania - 109.26 Mbps

Romania memegang kedudukan ini selama hampir dua tahun sejak Disember 2016. Negara berkenaan juga pernah memegang status sebagai negara dengan sambungan internet terpantas di benua Eropah sebelum dipintas oleh Iceland. Mereka turut mengatasi negara-negara gergasi Eropah seperti UK dan Perancis. Namun, Romania cuma menduduki tangga ke-36 dalam kedudukan internet mudah alih dengan purata kelajuan 31.05 Mbps.

4. Korea Selatan - 117.62 Mbps

Korea Selatan menjadi negara ke-dua Asia dengan sambungan internet terpantas di dunia. Negara ini terkenal dengan kegilaan rakyatnya bermain video atas talian dan kelajuan sebegini amat sesuai dengan kehendak mereka. Dengan kelajuan ini, mereka mampu memuat turun permainan video dengan masa yang singkat. Mereka berada di kedudukan ke-16 dalam ranking internet mudah alih dengan kelajuan muat turun 42.71 Mbps.

3. Hong Kong - 141.43 Mbps

Selain memiliki kelajuan internet yang memberansangkan, Hong Kong juga merupakan antara negara yang memiliki sambungan internet paling menyeluruh di dunia. Lambakan pilihan penyedia perkhidmatan internet(ISP) di negara berkenaan juga menyebabkan harga yang ditawarkan adalah agak rendah. Bagi internet mudah alih pula, Hong Kong berada di tangga ke-41 dengan kepantasan 30.24 Mbps.

2. Iceland - 155.25 Mbps

Iceland merupakan negara yang memiliki internet terpantas di Eropah sejak memintas Romania pada tahun 2017. Pada tahun 2012, pengguna internet di negara ini telah merangkumi 96.2% daripada keseluruhan populasi penduduk mereka. Muncul sebagai negara ke-tiga dalam kedudukan internet mudah alih dengan kelajuan muat turun 58.57 Mbps, cukup untuk membuktikan bahawa Iceland adalah antara negara yang memiliki sambungan internet terpantas di dunia.

1. Singapura - 170.99 Mbps

Ini adalah antara perkara yang paling dicemburui oleh rakyat Malaysia. Singapura bukan sahaja memiliki internet terpantas, malah pakej internet yang ditawarkan juga adalah amat berpatutan. Untuk kelajuan internet 1 Gbps, purata harga yang ditawarkan oleh ISP di negara berkenaan adalah S$60 (~Rm 178) sebulan sahaja. Internet mudah alih di sana juga tidak kurang hebat apabila mereka mempunyai kelajuan muat turun pada purata 54.96 Mbps untuk menduduki tangga ke-empat.

*kedudukan semasa bulan Mei 2018

Sumber

Berkaitan