LG V40 Bakal Menjadi Telefon Pintar Dengan Lima Kamera Pertama Di Dunia

Huawei sebelum ini telah menjadi syarikat pertama yang menghasilkan peranti telefon pintar dengan 4 kamera iaitu 3 kamera utama dan satu kamera hadapan pada model Huawei P20 Pro. Buat masa ini, ia kekal menjadi peranti dengan lensa kamera terbanyak yang berada di pasaran.

Namun, ia dijangka akan berubah tidak lama lagi. Ini kerana syarikat pengeluar dari Korea iaitu LG dilaporkan akan melancarkan peranti terbaru mereka iaitu LG V40 yang bakal hadir dengan 3 kamera utama dan 2 kamera hadapan. Sekiranya ia berlaku, ini akan menjadikan peranti berkenaan sebagai peranti yang memiliki lensa kamera terbanyak menggantikan Huawei P20 Pro.


(Imej di atas merupakan peranti V30)


LG agak ketinggalan dari segi prestasi kualiti fotografi berbanding pesaingnya sejak pelancaran LG V30 sebelum ini. Namun, laporan terbaru ini membuktikan bahawa LG bercadang untuk menghasilkan sebuah peranti yang serba lengkap dari segi kameranya. LG bukan sahaja memberi fokus kepada menghasilkan imej swafoto yang terbaik namun turut memastikan kualiti imej yang diambil menggunakan kamera utama juga adalah pada tahap tertinggi.

Menurut sumber lagi, peranti ini akan hadir dengan fungsi pengesan wajah untuk sistem nyahkuncinya. Ia juga diberitakan akan menggunakan cip pemprosesan kelas perdana Qualcomm, Snapdragon 845. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada LG V40 ini akan hadir dengan skrin jenis OLED atau LCD.

LG V40 ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi pada separuh kedua tahun ini namun pihak LG telah menolak untuk memberi maklumat lanjut berkenaan perkara ini. Sama-sama kita nantikan pengumuman daripada mereka pada masa akan datang.

Sumber