LG Patenkan Rekaan Telefon Dengan Paparan Boleh Gulung

Di saat jenama lain ingin membuat rekaan telefon pintar boleh lipat, LG pula tampil dengan rekaan telefon yang boleh gulung.

Berdasarkan laporan dari laman yang terkenal dengan pendedahan paten telefon - LetsGoDigital, LG telah pun mempatenkan rekaan telefon mereka yang baharu dengan paparan boleh gulung.



Paten itu menunjukkan paparan fleksibel yang dapat digulung sebahagiannya serta disembunyikan ke dalam kerangka telefon. Jika tidak ditarik, ia hanyalah seperti telefon pintar biasa.



Namun, perbezaannya di sini adalah mekanisme tatal dan gelongsor pada telefon pintar ini membolehkan ia ditarik ke kiri dan kanan.



Apabila ditarik keluar, kawasan skrin diperbesar 100 peratus. Ketika skrin ditarik keluar, kedua-dua bingkai skrin kiri dan kanan dipanjangkan, sehingga skrinnya dilindungi dengan baik oleh kerangkanya.

Teknologi ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana LG sememangnya jenama yang terkenal dengan pembuatan paparan. Mereka juga telah pun melancarkan TV OLED boleh gulung pertama di dunia.

Sumber: LetsGoDigital