LG Hadir Dengan Peranti Perdana Android One, Skrin Paparan Super Terang

Menjelang acara IFA 2018 yang bakal berlangsung di Berlin bermula hujung minggu ini, beberapa syarikat pengeluar telah pun mengesahkan peranti-peranti yang akan mereka lancarkan kelak. Terbaru, LG telah memberi pengesahan bahawa mereka akan memperkenalkan LG G7 One yang dijalankan dengan sistem operasi Android One.

Peranti itu turut akan menggunakan skrin paparan 6.1-inci QHD+ Super-Terang(Super Bright Display) yang didakwa bakal memberikan paparan yang memuaskan terutama ketika berada di luar rumah. Ia juga akan dikuasakan oleh sistem cip Qualcomm Snapdragon 835 dan memori 4GB.

Kredit : BGR


Walaupun tidak menggunakan cip terkini Snapdragon 845, peranti ini dengan mudah menjadi antara model Android One dengan spesifikasi dalaman terbaik yang berada di pasaran hari ini. LG G7 One ini juga akan dilengkapi dengan sistem audio canggih, Boombox Speaker.

Lensa tunggal 16MP dengan bukaan sebesar f/1.6 akan menghuni panel belakang peranti bersama-sama dengan pengesan cap jari. Manakala kamera swafotonya pula akan dilengkapi dengan lensa 8MP dengan bukaan aperture f/1.9. G7 One ini juga mampu merakam dengan kualiti 1080p pada 30fps.



Seperkara yang menarik lagi, peranti ini dilaporkan telah menerima pensijilan IP68 bagi menandakan ia sebagai sebuah peranti kalis air dan habuk. LG G7 One mampu bertahan selama 30 minit di dalam kedalaman air pada 1.5 meter.

Maklumat lengkap berkenaan peranti ini pasti akan kita dengari daripada pihak LG sendiri semasa acara di Berlin itu berlangsung kelak. Sama-sama kita nantikan pengumuman daripada mereka.

 

Sumber