LG Dilapor Bantu Apple Untuk Pembangunan Panel Paparan Boleh Lipat

Apple kini dilaporkan telah melantik LG Display untuk membangunkan panel paparan yang akan digunakan pada iPhone boleh lipat.

Memetik laporan DigiTimes, LG Display akan membantu Apple bagi pembangunan panel paparan OLED bagi iPhone boleh lipat. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika LG Display akan membekalkan Apple dengan panel paparan ini bagi pengeluaran besar-besaran atau hanya membantu untuk peringkat awal pembangunan sahaja.

Terdahulu, terdapat spekulasi mengatakan Samsung akan membekalkan Apple untuk paparan boleh lipat OLED. Samsung turut dikatakan telah menyediakan sejumlah sampel panel paparan boleh lipat kepada Apple.

Pada masa ini, Apple menerima bekalan panel paparan OLED dari LG dan Samsung bagi iPhone sedia ada. Dengan itu, tidak mustahil kedua-dua syarikat ini juga akan menyediakan panel paparan untuk iPhone boleh lipat.

Sumber: MacRumors