Lesen Android Ditarik: Huawei Sudah Siap Sedia Dengan Sistem Operasi Sendiri Yang Digelar Hongmeng?

Pada Mac lalu, CEO Huawei Richard Yu ada memberitahu bahawa syarikat terbabit ada membangunkan sistem operasi sendiri sebagai pelan sandaran sekiranya Amerika membuat apa-apa keputusan yang akan menjatuhkannya.

Hari ini, dunia digemparkan apabila lesen Android Huawei ditarik oleh Google menjadikan model-model yang bakal keluar 'cacat' tanpa perisian dari Google seperti Play Store.

Hari ini juga HuaweiCentral mendedahkasn bahawa Huawei sememangnya ada membangun sistem pengoperasian sendiri yang dikenali sebagain 'Hongmeng' yang sudah bermula sejak 2012.

Malah, sumber HuaweiCentral itu juga turut mendedahkan syarikat terbabit sudah pun menggunakan perisian tetapi hanya di sebalik tabir.

Biarpun begitu sumber itu juga berkata nama 'Hongmeng' itu hanya sekadar nama kod atau nama yang berkait rapat dengan sistem operasi tersebut dan nama sebenar sistem operasi itu tidak dapat dipastikan.

Namun persoalan sebenar adalah, sekiranya benar wujudnya Hongmeng OS ini, adakah kita semua sudah bersedia untuk menerimanya?

Sumber: HuaweiCentral