Lenovo Z5 - Sebuah Lagi Peranti Dengan Rekaan Takuk, Berbeza Dengan Imej Teaser Sebelum Ini

Kepada pengikut setia industri telefon pintar yang mengharapkan peranti dengan paparan penuh tanpa takuk daripada Lenovo, maaf kerana anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama. Ini kerana, peranti yang dikatakan bakal menjadi telefon pintar tanpa bezel dan takuk pertama keluaran mereka iaitu Lenovo Z5, turut hadir dengan takuk semasa dilancarkan pada 5 Jun.



Berita ini sudah semestinya agak mengecewakan terutamanya kepada penggemar peranti keluaran Lenovo. Ini kerana, sebelum ini satu imej peranti tanpa takuk telah tertiris atas talian dan ia dikatakan merupakan rekaan bagi peranti Lenovo Z5. Malah, sebuah imej teaser yang dikeluarkan sendiri oleh Lenovo telah menunjukkan sebuah peranti tanpa takuk.


Imej reka bentuk yang tertiris atas talian



Imej teaser yang dikeluarkan oleh Lenovo


Lenovo Z5 ini akan hadir dengan paparan skrin bersaiz 6.2 inci dengan nisbah paparan 19:9 serta resolusi 1080p. Ia turut hadir dengan sedikit bezel pada bahagian bawah peranti, namun pihak Lenovo telah menegaskan bahawa nisbah paparan pada peranti ini berada pada tahap 90%.

Peranti ini akan menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 636 dan bukan Snapdragon 845 yang dilaporkan sebelum ini. Malah, ura-ura berkenaan peranti yang mempunyai ruang storan sehingga 4TB juga merupakan informasi yang salah. Ini kerana, info berkenaan sebenarnya adalah berkaitan dengan sebuah cakera keras keluaran Lenovo yang dilancarkan pada hari yang sama.

Lenovo Z5 ini pula akan hadir dengan dua pilihan storan dalaman iaitu pada 64GB serta 128GB. Manakala bagi memorinya pula, peranti ini akan disokong oleh memori 6GB RAM sahaja. Lenovo akan mula menjual peranti ini di pasaran China pada 12 Jun ini pada harga $200(RM 795) bagi variasi 64GB dan $280(RM 1,113) bagi model 128GB.

Setakat ini masih ada maklumat berkenaan pelancaran peranti ini pada pasaran global daripada pihak Lenovo.

Sumber