Lenovo Yoga Slim 7i Pro Dengan Paparan OLED Diumumkan

Tahun lalu, Lenovo telah melancarkan Yoga Slim 7i Pro dengan panel LCD dan juga Yoga Slim 7i Carbon dengan panel QHD.

Kini, menerusi acara CES 2021, Lenovo mengumumkan Yoga Slim 7i Pro versi OLED pula. Seperti biasa, OLED digunakan adalah untuk memfokuskan kontras dan warna yang lebih menyerlah berbanding LCD. Tambahan lagi, panel ini dibuat daripada Samsung.



 

Bercakap tentang paparan, ia didatangkan dengan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi 2880x1800 dan sokongan kadar segar semula 90Hz.



Selain kontras yang tinggi, ia juga menerima sokongan warna 100% DCI-P3, 125% sRGB dan sokongan HDR serta Dolby Vision. Malah, Lenovo mendakwa ia boleh digunakan di bawah sinaran matahari dan mampu mengurangkan cahaya biru kepada 70%.

Terbina di dalam komputer riba ini cip pemproses sehingga Intel i7 Gen-11 dan dipadankan grafik Intel Iris Xe. Namun, pilihan diberikan untuk Nvidia GeForce MX450 bagi yang mahukan grafik lebih baik.



Spesifikasi lain termasuk RAM sehingga 16GB, Bluetooth 5.0, WiFi 6, kamera IR, pembesar suara daripada Harman Kardon serta Dolby Atmos, bateri 61WHr dan penarafan Intel Evo.

Lenovo Yoga Slim 7i Pro (OLED) ini akan tersedia dalam tahun ini juga dan tiada lagi tarikh serta harga diumumkan. Namun, Yoga Slim 7i Carbon terdahulu dijual pada harga bermula RM4399.