Lenovo Yoga Slim 7i Carbon Hadir Penghujung Oktober Ini, Harga Bermula RM4399

Lenovo hari ini telah memperkenalkan barisan terbaharu komputer riba mereka dalam siri Yoga. Komputer riba ini hadir dengan binaan yang sangat ringan iaitu beratnya hanya 966g serta mendapat penarafan MIL-STD-810G.



 

Komputer riba ini menggunakan paparan 13.3 inci anti-glare beresolusi QHD (2560x1600) dengan bezel yang nipis. Ia menawarkan 100% sRGB serta Dolby Vision dan mendapat penarafan TUV Rheinland Eye Comfort. Paparannya hampir penuh dengan nisbah skrin ke badan sebanyak 91%.



Lenovo Yoga 7i Carbon dilengkapi cip pemproses Intel Gen-11 Core i5 atau i7, grafik Intel Iris X, RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Komputer riba ini juga hadir dengan dua 2W pembesar suara stereo yang dikuasakan Dolby Atmos.



Selain itu, bagi kapasiti bateri pula adalah 50Wh dimana Lenovo mengatakan ia mampu bertahan sehingga 15 jam dengan cas penuh serta menyokong pengecasan pantas dimana ia akan memberikan penggunaan sehingga 2 jam dengan mengecas dalam 15 minit.



Sementara mereka juga menyatakan bateri komputer riba ini akan kekal dicas sehingga 80% selepas 800 kitaran cas. Lenovo juga menawarkan teknologi lain seperti Flip-To-Boot, mod Q-Control Intelligent Cooling, kamera IR dan Glance oleh Mirametrix.

Turut dimuatkan dengan pengecas USB-C, Display Port dan Thunderbolt 4.0. Komputer riba ini akan hadir buat pasaran Malaysia pada penghujung Oktober ini dan tanda harga bermula RM 4,399.