Lenovo Umum Empat Komputer Riba Legion Baharu Khusus Untuk Gaming

Semasa acara CES 2021, Lenovo telah mengumumkan empat komputer riba Lenovo Legion baharu yang khusus untuk kegunaan gaming.

Komputer riba ini dikuasakan cip pemproses siri Ryzen 5000 serta kad grafik Nvidia siri RTX 30. Empat model tersebut adalah:

  • Lenovo Legion 7 (16”)

  • Lenovo Legion Slim 7 (15”)

  • Lenovo Legion 5 Pro (16”)

  • Lenovo Legion 5 (15” dan 17”)


Kesemua komputer riba ini akan tersedia bermula pada Februari 2021. Malah, pengguna yang membelinya akan menerima satu bulan percuma Microsoft Xbox Game Pass.

Lenovo Legion 7




Komputer riba ini adalah versi yang paling berkuasa tinggi dalam siri Legion kerana dikuasakan cip Ryzen 9 5900H dan kad grafik sehingga RTX 3080.

Didatangkan dengan skrin berukuran 16 inci 165Hz panel IPS dengan nisbah 16:10, resolusi 2560x1600, Nvidia G-SYNC, 100% sRGB, 90% nisbah skrin-ke-badan dan sokongan Dolby Vision.

Ia turut mempunyai sistem enjin AI Lenovo Legion untuk mengoptimakan prestasi bermain dengan memberikan kadar bingkai yang tinggi.



Rekaan papan kekuncinya adalah bersaiz penuh dan mempunyai RGB yang menyokong perisian Corsair iCUE.

Selain itu, ia juga hadir dengan WiFi 6 Killer AX1650 bagi memberikan pengguna menikmati sambungan internet yang pantas dengan latensi sangat rendah.

Lenovo Legion Slim 7




Komputer riba bersaiz nipis dan ringan ini dikemaskini dengan perkakas baharu dimana ia dijana cip Ryzen 9 5900H yang digandingkan RTX 3060 Max-Q.

Hadir dengan skrin 15.6 inci beresolusi 1080p, 100% sRGB dan kadar penyegaran 144Hz atau resolusi 4K dengan kadar penyegaran 60Hz. Ia masih mempunyai Dolby Vision.



Tidak banyak perbezaan komputer riba ini dengan Lenovo Legion 7 terutama spesifikasi dalaman.

Hanya pilihan paparan dan kad grafik yang digunakan sahaja yang membezakannya serta rekaan yang lebih nipis dan mudah untuk dibawa kemana-mana.

Lenovo Legion 5 Pro




Lenovo Legion 5 Pro menawarkan paparan yang sama dengan Legion 7 iaitu paparan 16 inci QHD. Ia dikuasakan Ryzen 9 5800H dan kad grafik sehingga RTX 3070.

Kadar segar semula pada paparan ini adalah 165Hz dan masa tindak balas 3ms. Panelnya beresolusi 2560x1600, sokongan Nvidia G-Sync dan AMD FreeSync, 100% sRGB dan Dolby Vision.



Kekurangannya, papan kekunci komputer riba ini tidak menyokong sistem Corsair iCUE untuk RGB tetapi ia hadir dengan 4 zon RGB.

Bagi webcam, ia dilengkapi e-shutter untuk meningkatkan privasi pengguna. Tambahan lagi, ia turut menyokong WiFi 6.

Lenovo Legion 5




Komputer riba ini didatangkan dalam dua saiz iaitu 15 inci dan 17 inci. Ia menggunakan cip pemproses Ryzen 9 5800H dan kad grafik sehingga RTX 3070.

Dilengkapi paparan 15.6 inci 1080p dengan 165Hz atau 17 inci 1080p dengan 144Hz. Masing-masing hadir dengan 100% sRGB.



Papan kekuncinya sama yang ada pada Legion 5 Pro, mempunyai WiFi 6 dan webcam dengan e-shutter (model 15 inci) serta shutter fizikal (model 17 inci) untuk privasi pengguna.

Kesemua komputer riba Legion ini menggunakan sistem penyejukan Coldfront 3.0, sistem audio daripada Nahimic dan menyokong pengecasan Type C.

Buat masa sekarang, tiada harga yang diumumkan lagi dan ia akan hadir buat pasaran tempatan mulai Februari ini.