Lenovo Perkenalkan Peranti Alternatif Kepada Google Nest Hub

Peranti pintar paparan yang dilengkapi kamera.


Lenovo di pameran IFA telah mempertontonkan  pelbagai barisan produk terbaru mereka kepada pengunjung. Selain daripada model terbaru komputer riba Thinkbook 14 dan 15, Lenovo turut melancarkan produk pintar terbaru mereka iaitu Lenovo Smart Display 7.

Peranti pintar ini dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz inci beresolusi 1024 x 600, pembesar suara stereo  5W serta kamera 2MP.

Lenovo merupakan syarikat pertama yang telah mengadakan kerjasama dengan pihak Google bagi membangunkan peranti pintar ini sebagai alternatif kepada Google Nest Hub.



Sama sepertimana Google Nest Hub, Lenovo Smart Display 7 turut menyokong akses kepada Google Assistant, servis penstriman muzik, YouTube dan banyak lagi.

Cuma yang memberikan kelebihan pada Lenovo Smart Display adalah, ia dilengkapi dengan kamera 2MP bersudut lebar di hadapannya yang membolehkan pengguna membuat panggilan video menerusi Google Duo.

Berbeza dengan Google Nest Hub yang hanya mampu membuat panggilan suara sahaja.

Lenovo Smart Display 7 dijangka akan mula ditawar pada pengguna di A.S  dalam bulan Oktober ini dan berharga USD129.