LEGO Perli Syarikat Pengeluar Peranti Dengan Produk Boleh Lipat Mereka

Semasa acara MWC 2019 yang lalu, beberapa syarikat pengeluar telah memperkenalkan peranti boleh lipat mereka sendiri. Antaranya ialah Samsung Galaxy Fold dan Huawei Mate X.

Ramai yang meramalkan bahawa akan berlaku perang perli-memerli sesama pengeluar bagi membuktikan peranti merekalah yang terbaik.

Namun siapa sangka, syarikat pengeluar bongkah permainan, LEGO turut ikut serta apabila "mengusik" pengeluar peranti melalui kiriman di Twitter mereka baru-baru ini.



Pada kiriman itu, mereka mempromosikan produk boleh lipat mereka sendiri, LEGO Fold dengan memberitahu bahawa ia tidak akan kehabisan bateri.

Namun, ia cumalah sebuah model yang dipanggil Pop-Up Book yang merupakan buku cerita kreatif, seperti yang didakwa oleh LEGO.

Berbeza dengan telefon pintar boleh lipat yang memerlukan belanja besar untuk dimiliki, LEGO Fold ini dijual pada harga $110(~RM448) sahaja.

 

Sumber: The Verge