Lebih Banyak Negara Yang Akan Terima Teknologi 5G mmWave Pada iPhone 13

iPhone 12 yang dilancarkan tahun lalu menjadi peranti Apple pertama yang hadir dengan teknologi 5G. Namun, tidak semua model iPhone 12 menerima sambungan 5G yang sama.

Untuk pasaran AS, iPhone 12 mempunyai teknologi antena mmWave 5G sementara pasaran Malaysia hanya sub-6GHz sahaja. Ini bermakna, kelajuan bagi dua model iPhone ini adalah tidak sama.

Laporan terbaru, Apple dikatakan sudah membuat pesanan yang besar dalam mendapatkan bekalan antena mmWave ini daripada syarikat Taiwan - Qiqi.



Teknologi tersebut akan digunakan dalam iPhone 13 yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Malah, Apple turut dilaporkan sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi seluruh dunia bagi menawarkan rangkaian 5G ini kepada lebih banyak negara.

Oleh itu, negara-negara maju seperti UK, Kanada, Jerman, China dan Jepun yang sudah tersedia rangkaian 5G mmWave akan dapat manfaat daripada iPhone 13 ini.

Sekiranya mmWave ini hadir buat pasaran Malaysia, kita mungkin tidak dapat menikmati kepantasan tersebut kerana di Malaysia masih menguji rangkaian 5G sub-6GHz sahaja dan mungkin kita perlu menunggu lebih lama sebelum rangkaian 5G mmWave tersedia di Malaysia.

Sumber: Patently Apple