Lebih Banyak Maklumat Mengenai Honor View 20 Didedahkan Menjelang Hari Pelancaran

Lubang pada skrin atau Hole in Active Area(HIAA) nampaknya akan menghiasi telefon pintar pada tahun hadapan bagi menggantikan rekaan takuk. Antara peranti terawal yang akan menggunakannya ialah Honor View 20.

Peranti berkenaan dijadualkan bakal dilancarkan di China pada 26 Disember ini dan di Paris, bagi pasaran global pada 22 Januari depan. Berkaitan perkara itu, beberapa maklumat mengenainya dilihat telah mula tersebar di internet.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kamera utama 48-megapikselnya. Ia akan menggunakan sensor IMX586 keluaran Sony yang juga akan digunapakai oleh beberapa peranti lain termasuk sebuah model syarikat induk Honor, Huawei Nova 4.

Baca juga: Spesifikasi Huawei Nova 4 Mula Kelihatan, Kamera Utama 48MP



Malah, Honor V20 ini juga dilaporkan akan dikuasakan oleh sistem cip yang sama dengan Huawei Mate 20 iaitu HiSilicon Kirin 980. Ini berdasarkan satu markah penanda aras Antutu yang didedahkan atas talian baru-baru ini.

Selain itu, peranti ini turut didakwa akan dilengkapi dengan memori sebesar 8GB RAM serta 128GB simpanan dalaman. Dari segi perisian pula, ia akan dijalankan menggunakan sistem EMUI 9 berlandaskan Android 9 Pie.



Ia dijangka akan ditawarkan dengan tiga warna iaitu merah, biru dan hitam. Seperti biasa, tiada maklumat mengenai ketibaan peranti ini ke pasaran Malaysia setakat ini. Kita nantikan maklumat daripada pihak Honor Malaysia dalam masa terdekat.

 

Sumber: Weibo