Laporkan Terus Kepada Pihak SKMM Berkaitan Kandungan 3R Di Media Sosial

Bersamalah kita memelihara keharmonian dan keamanan negara.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa rakyat Malaysia supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan di media sosial yang mengandungi unsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi DiRaja) terus kepada pihak mereka menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016 220 6262.

Atau boleh juga menghantar aduan anda menerusie-mel kepada [email protected].

Platform ini disediakan bagi memudahkan proses dan mempercepatkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kandungan 3R dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan.

Rakyat Malaysia diminta mengambil tangkapan skrin (screenshot) dan pautan (URL) kepada kandungan yang tidak berhemah di media sosial dan hantar ke talian seperti yang diberikan. Bagi kandungan negatif yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pula, pengguna boleh mengambil tangkapan skrin berserta nombor telefon individu bagi tujuan aduan.

Kapsyen: Kredit: Tourism Malaysia


SKMM juga mengingat dan menasihatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas terhadap sesuatu isu sensitif bagi memelihara keharmonian dan kedamaian yang telah dicapai negara melalui persefahaman yang dibina sejak 62 tahun yang lalu.

Sebarang ulasan dan penyebaran kenyataan berunsur negatif serta mengancam perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini mestilah dihentikan serta-merta demi kepentingan bersama.

“Oleh itu, berfikirlah sebelum anda membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkara-perkara sensitif. Jangan sesekali ‘tweet’, kongsi dan membuat ulasan yang boleh menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini. Hayatilah erti kemerdekaan dan hormatilah sambutan bulan kemerdekaan yang penuh bermakna ini.

Jadilah rakyat Malaysia yang matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang boleh memecahbelah perpaduan demi kemakmuran bersama,” Pengerusi SKMM, AlIshsal Ishak.