Laporan: Qualcomm Bukan Lagi Pembekal Cip Terbesar, Kini Dipintas MediaTek

Sejak sekian lama, Qualcomm telah mendominasi pengeluaran cip telefon pintar. Terkini, buat pertama kalinya MediaTek dilaporkan telah memintas Qualcomm dan menjadi pembekal cip terbesar untuk telefon pintar bagi tahun 2020.

Menurut laporan Omdia (melalui Digitimes), MediaTek telah menghasilkan 351.8 juta unit cip untuk telefon pintar bagi tahun 2020. Ia merupakan peningkatan sebanyak 113.8 juta unit berbanding tahun sebelumnya.

MediaTek juga berjaya mengaut perkongsian pasaran global sebanyak 27.2% berbanding 17.2% pada 2019.

Daripada jumlah cip yang dihasilkan tahun lalu, Xiaomi menjadi penyumbang terbesar MediaTek dengan pengeluaran 63.7 juta telefon pintar yang dikuasakan cip MediaTek berbanding 19.7 juta pada 2019.

OPPO dan Samsung masing-masing mencatatkan pengeluaran telefon pintar dengan cip MediaTek sebanyak 55.3 juta unit dan 43.3 juta unit pada tahun 2020. Selepas sekatan pelaburan yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap Huawei, syarikat itu juga mula menggunakan cip MediaTek.

Untuk tahun 2021, MediaTek dijangka akan mengekalkan dominasi penghasilan cip telefon pintar, dengan permintaan cip dari Huawei dan Honor.

Sumber: Digitimes