Lapangan Terbang Langkawi Berjaya Jalani Ujian 5G

Ditubuhkan sejak 2012, kumpulan edotco merupakan sebuah syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu serantau pertama di Asia, menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam sektor perkhidmatan menara.

Perkembangan terkini mengenai syarikat tersebut, mereka telah bekerjasama dengan Peatalk Corporation (Peatalk) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka penggunaan teknologi 5G. Ia dalam masa yang sama, memperlihatkan sokongan kepada agenda pendigitalan Malaysia.

Memorandum Persefahaman yang ditandatangani itu diadakan sejurus selepas kejayaan ujian rangkaian yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) bagi meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih sehingga 10Gbps.

"Projek LIA telah menyokong projek demonstrasi 5G Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan inisiatif Airport 4.0 untuk meningkatkan pengalaman menyeluruh di lapangan terbang kepada penumpang dan vendor," kata kenyataan edotco didalam laporan Bernama.

Edotco turut melaksanakan penyelesaian rangkaian swasta 5G Tetap Tanpa Wayar (FWA) di LIA dan secara tidak langsung ia membuka jalan untuk menjadikan LIA sebagai sebuah lapangan terbang 5G pertama di Malaysia.

Sementara itu, Peatalk sebagai sebuah syarikat teknologi telekomunikasi terkemuka telahpun membekalkan teknologi FWA yang selamat, persendirian, dan fleksibel.

Peralatan penghantaran gelombang millimeter itu dipasang di tiga buah lokasi bagi membawa jalur lebar yang tinggi, iaitu:

  1. Menara edotco Malaysia di Gunung Raya

  2. Struktur di LIA

  3. Bumbung terminal lapangan terbang


Peralatan ini dihubungkan ke 19 tapak sel di lapangan terbang, meminimumkan jurang dalam liputan dan menyediakan pengalaman rangkaian yang konsisten dan lancar.

Sumber: Bernama