Langkah Yang Boleh Diamalkan Untuk Melindungi Diri Dari Serangan Siber

Dalam dunia teknologi hari ini, hampir segala jenis tugasan akan bergantung kepada sebuah peranti sama ada bagi tujuan perniagaan, perbankan, pendidikan dan aktiviti sosial. Sifat kebergantungan ke atas teknologi ini, serta berkongsi maklumat peribadi secara tidak langsungnya hadir dengan ancaman serangan siber.

Selain ancaman teknologi seperti perisian tebusan (ransomware) dan perisian hasad (malware), ancaman teknologi seperti penggodaman visual, atau pencurian informasi sulit melalui kaedah visual juga amat efektif bagi kes-kes kecurian maklumat peribadi.

Oleh itu, amalan sekuriti siber yang baik perlu dipraktikkan dan berikut merupakan perkara asas yang anda perlu ketahui untuk melindungi diri anda dari serangan siber.

1. Kata laluan yang kukuh


Penggunaan kata laluan yang selamat adalah langkah pertama yang perlu diambil untuk menghalang akses terlarang ke atas maklumat peribadi anda. Ciptakan kata laluan yang lebih kukuh dengan mengelakkan penggunaan perkataan dan frasa yang lazim, serta yang berkaitan butiran peribadi anda.

Frasa yang panjang dan rawak, berserta penggunaan aksara yang bercampur adalah disarankan, kerana ia lebih sukar untuk digodam. Sebagai amalan sekuriti yang baik, elakkan penggunaan kata laluan yang sama bagi setiap laman digital atau media sosial yang berlainan serta tukar kata laluan secara berkala.

2. Berhati-hati dengan Wi-Fi Awam


Jika anda ingin menggunakan Wi-Fi awam, pastikan rangkaian tersebut boleh dipercayai. Mungkin anda lebih suka menggunakan sambungan Wi-Fi yang tidak memerlukan kata laluan. Namun, anda perlu tahu rangkaian tersebut memberikan risiko tinggi pada peranti anda untuk digodam.



Sebagai langkah yang terbaik, matikan sambungan Wi-Fi sepenuhnya jika tidak digunakan, dan ubah tetapan peranti untuk menyekat akses Wi-Fi yang tidak disahkan. Anda juga dinasihatkan untuk tidak sesekali melakukan transaksi kewangan atau mengakses data sulit jika anda menggunakan Wi-Fi awam.

3. Berwaspada terhadap e-mel


Seterusnya, anda juga perlu tahu e-mel berpotensi untuk menjadi saluran yang digunakan oleh penggodam untuk menceroboh sistem digital anda.

Kelazimannya, kaedah yang digunakan untuk menceroboh adalah dengan menghantar e-mel yang mengandungi virus atau e-mel dengan pautan atau lampiran yang boleh menyebarkan virus apabila dibuka.

Dengan itu, anda perlu berhati-hati ketika membuka e-mel, pautan atau lampiran. Terlebih dahulu anda perlu periksa alamat e-mel penghantar, termasuk ejaan satu persatu. Hapuskan dengan segera daripada peti masuk jika anda menerima e-mel seperti ini.

4. Gunakan Panel Privasi (Privacy Filter)


Serangan Siber

Meskipun kebanyakan daripada kita sedar tentang bahaya ancaman serangan siber, masih ada yang tidak bersedia untuk menangani bahaya ancaman teknologi seperti penggodaman visual.

Penggodaman ini merupakan suatu kaedah yang amat efektif bagi tujuan rakaman maklumat sensitif dan anda terdedah kepadanya di mana-mana jua anda berada, selagi anda dikelilingi oleh orang lain.

Oleh itu, pengambilan langkah pencegahan terhadap ancaman ini adalah penting, serta penggunaan panel privasi merupakan satu amalan yang baik untuk menangani isu ini. Penggunaan panel privasi dapat berfungsi sebagai benteng pertahanan yang pertama terhadap penggodam.

Sumber: 3M Malaysia

Berkaitan