Laman Soal Jawab Quora Dilaporkan Telah Digodam, 100 Juta Data Pengguna Dicuri

Quora, sebuah platform soal jawab diinternet telah mengeluarkan pemberitahuan bahawa sistem mereka telah berjaya digodam.

Difahamkan sebanyak 100 juta data pengguna dicuri pengodam dimana ia melibatkan data seperti nama, e-mel, kata laluan yang disulitkan, dan data-data yang diimport dari media sosial yang lain.

Adam D'Angelo, CEO Quora menyatakan pihak mereka sedang berusaha menyelesaikan masalah itu dan turut mengambil langkah untuk menghalang kejadian serupa dari berlaku lagi.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat lepas dipercayai dilakukan oleh pihak ketiga yang berjaya mendapatkan akses ke salah satu sistem Quora. Makluman telah diberi kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan melantik firma forensik digital untuk menyiasat insiden tersebut.

Sumber: Quora