Laman e-Bayar Universiti Malaya Digodam

Data peribadi, kata laluan kakitangan UM dibocor di laman maya.


Tidak lama selepas pihak Universiti Malaya (UM) memaklumkan tiada maklumat dan data terjejas selepas portal e-bayar milik mereka digodam, sejumlah besar data peribadi kakitangan, ID login dan kata laluan didapati telah dibocorkan di internet.

Isu penggodaman tersebut pertama kali didedahkan oleh laman lowyat.net semalam. Kebocoran data dibuat dalam 2 bahagian.

Untuk bahagian pertama,  data yang bocor mengandungi maklumat slip gaji kakitangan akademik dan bukan akademik UM, termasuk nama (didaftarkan di) bank dan nombor akaun.

Nombor akaun bank yang didedahkan adalah sepadan dengan nama kakitangan, nombor MyKad dan juga ID kakitangan.

Manakala bahagian kedua pula mengandungi maklumat sulit tambahan seperti nombor cukai pendapatan, nombor KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), jabatan, lokasi cawangan, jawatan serta maklumat gaji," menurut laporan lowyat.net.

Turut dibocorkan dalam bahagian kedua ialah sekitar 24,000 ID log masuk dan kod kata laluan (hashed password) yang dipercayai daripada pautan e-bayar UM, yang dilaporkan digodam.

Laman itu memberi amaran bahawa lebih banyak data, termasuk milik pelajar, berisiko dibocorkan memandangkan fail yang bocor itu didakwa mengandungi kata laluan back-end dan maklumat pangkalan data.

Lowyat.net berkata pihaknya telah memaklumkan kebocoran itu kepada pihak berkuasa sebelum menerbitkan artikel itu.

Semalam, klik pada pautan laman e-bayar UM membawa pengunjung ke halaman yang memaparkan logo penggodam Anonymous dan memaparkan kata-kata berbunyi:

Biar Mati Dari Hidup Melutut


I would rather die standing than live kneeling.


If my words threaten those in power, so be it.


If my pictures alarm the people, that is good.


Your teeth come down, my sword goes up.


#NoRasis #UndurVc #University of Malaya


Pihak UM memaklumkan mereka telah menutup sistem tersebut sebaik mengesan ia diceroboh.


Walaubagaimanapun, sistem jaringan dan e-pay telah selesai dibaik pulih tengah hari semalam dan sistem jaringan telah diaktifkan semula.

Sementara sistem e-pay pula masih lagi menjalani proses ujian dan akan diaktifkan semula dalam masa terdekat

Buat masa ini, laman e-bayar UM masih tidak boleh diakses.

Insiden penggodaman ini berlaku selepas protes siswa kejuruteraan awam Wong Yan Ke ketika majlis konvokesyen baru-baru ini terhadap ucapan Naib Censelor UM Abdul Rahim Hashim di Kongres Maruah Melayu, yang didakwanya berbaur perkauman.

Sumber: Malaysia Kini

Berkaitan